Friday, August 29, 2008

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak





tontoni animasi ini dah pelajari sesuatu.






ini merupakan salah satu animasi terbaik yang pernah dihasilkan di Malaysia. sila berikan pujian kepada mereka yang terlibat dalam pembikinannya.

episod baru akan menemui kita semua semperna Ramadhan tahun ini. 7 malam setiap Jumaat hingga Ahad di TV9.

Wednesday, August 27, 2008

aku orang, bukannya zombie...

saban tahun petronas akan mengeluarkan iklan-iklan yang best semperna hari-hari tertentu seperti merdeka dan hari raya.

dan di bawah ini merupakan iklan rasmi mereka untuk merdeka yang ke-51

aku sendiri secara peribadi sentiasa ternanti-nanti iklan-iklan sebegini di kaca televisyen. iklan yang akan membawa otak aku berfikir secara kreatif dan mengujakan. jauh sekali dengan iklan makanan ringan yang dibuat secara jimat kos seperti iklan CocoPie. yang biasanya disiarkan semasa tayangan kartun Kiteretsu jam 7.30 mlm hari Rabu di TV3. ala, iklan budak gemuk yang mendapatkan makanan tergantung dengan menggunakan kuasa aura kentut. cis.. iklan kurang sopan.

berbalik dengan iklan di atas, menunjukkan betapa mulia dan bertanggungjawabnya seorang bapa yang pada mata kasar dilihat sentiasa berjimat ala-ala kedekut tahik hidung masin. tapi akhirnya menyedarkan anaknya bahawa apa yang dilakukan selama ini adalah demi masa depan anaknya sendiri. walaupun hanya menjual cempedak, namun berjaya menyimpan wang sehingga berjumlah 40 ribu lebih. huhuhu banyak tu..

penghasilan iklan sebegini mengingatkan aku betapa sayangnya abah aku pada aku. walaupun semasa kecik aku pernah tertanya-tanya mengapalah aku mendapat abah yang super duper garang. ya.. aku merasakan bahawa abah aku dahulu kala adalah insan yang paling menakutkan dalam dunia. tiada yang lebih menakutkan daripada kemarahan beliau. hehehe tapi apabila aku semakin besar, tinggi dan semakin berumur.. aku dapat rasakan perubahan yang ketara pada anggapanku sebelum ini. abah aku taklah seganas mana. bahkan sporting sebenarnya. aku sebenarnya berasa amat berterima kasih atas keganasan dan kebrutalan yang beliau tunjukkan dengan didampingi permaisuri beliau merangkap mak aku, yang juga agak menakutkan aku satu masa dahulu. kerana kebrutalan itulah aku adik beradik berjaya menjadi orang dan bukannya menjadi zombie..huhu

aku sayang mak dengan abah aku......hahahahaha

Tuesday, August 26, 2008

26 OgOs 2oo8

apa yang korang buat pada petang hari ini 26 Ogos 2008?
harap-harap semuanya berjaya memfaedahkan kelakuan masing-masing macam aku ni. heheheh
apa yang aku buat?
petang hari yang dingin akibat dari turunnya rahmat dari langit membuatkan aktivitiku sedikit terbatas. tak boleh nak keluar.
nasib baik hari ni spesel sikit. ada jugak aktiviti yang mampu menghilangkan rasa boring aku.
apa yang spesel?
hari ini hari pembuangan undi di Permatang Pauh.
satu Malaysia duk tertunggu-tunggu keputusan pilihan raya ni. masing-masing nak tahu berita terkini. semua tertanya-tanya siapa yang menang. PKR kah? BN kah? atau AKIM kah? (AKIM bagaimana pun boleh diabaikan dalam kes ini)
sebagai rakyat Malaysia yang prihatin lagi sensitif mengenai perkembangan politik tanah air, aku pun tak mahu ketinggalan mengikuti perkembangan yang berlaku di sana. nak juga tahu sama ada berkembang ke tidak suasana di sana. atau pun semuanya mengucup?
demi merealisasikan matlamat aku hari ni, maka aku menggunakan segala kemudahan yang ada disekeliling aku. TV di ruang tamu terpasang. menanti dan memerhati maklumat yang mungkin ada. sekarang ni NTV7 dilantik sebagai saluran rasmi. jangan ditanya mengapa. paham-paham sendiri aje la.
sambil-sambil tu, PC kesayangan ni juga digunakan sepenuhnya. mencari dan terus mencari apa-apa yang terkini. sambil jari-jemari mengetuk-ngetuk kekunci papan kekunci ni. (macam lawak je ayat ni. betul ke macam ni?)
maklumat tidak rasmi yang aku dapat ketika ini (jam 7.15 pm) menunjukkan calon PKR (DSAI) telah pun mengatasi pihak lawan. di ulangi TIDAK RASMI. kalau terdapat kesilapan aku tak tanggung. hehehehe DSAI kata kalau menang dia nak turunkan lagi harga minyak (kalau dapat bentuk kerajaan la). aku sokong sangat la tu. tak larat minyak mahal. naik motor pun terasa. kalau pakai kereta tak tahu lah......

Sunday, August 24, 2008

kelebihanmu kekuranganmu jua..

apa kelebihan korang kalau nak dibandingkan dengan orang lain?
sila jawab..
jangan malu-malu..
aku manusia biasa. teramat biasa. masih tercari-cari kelebihan yang MUNGKIN ada. ataupun mungkin tiada.
semasa kecil, aku lah orangnya yang menangkap labah-labah untuk memberikan peluang kepadanya menggigit aku. ye..akulah orangnya. dengan berani ala-ala Fear Factor punya peserta, aku suakan tanganku kepada En. Labah-labah dengan harapan yang menggunung. semoga selepas digigit, aku akan menjadi sehebat Spiderman.
aku juga lah orangnya yang mengikat tuala dileher sebelum dan selepas mandi sekadar ingin menyelami perasaan seorang manusia yang bernama Clark Kent yang boleh terbang. ada awek yang cun. ada kerja yang best sebagai En. Reporter. serta kuat dan laju.
lampu picit kepunyaan abah aku pun tak berjaya melepaskan diri dari aku. ku gunakan cahaya lampu tersebut untuk menyuluh seluruh tubuhku seakan-akan cahaya tersebut adalah sinar gamma. juga dengan angan-angan yang sama tinggi. ingin menjadi makhluk hijau yang kuat dan ganas bergelar Incredible Hulk.
korang-korang bagaimana?
pernah berkelakuan sebegini?
ada? tiada??
kalau ada baguslah. itu bermakna otak korang-korang semasa kecil adalah amat aktif dan kreatif. kalau tiada, maknanya korang-korang ni tergolong dalam insan-insan yang agak malang. malang kerana gagal mengeksperimen hidup korang-korang sejak dari kecil lagi.
kenapa semuanya berkisahkan superhero?
kenapa tidak buah kelapa?
kenapa tidak tin susu?
jawapannya senang. kerana superhero hebat dan mempunyai kelebihan yang tiada pada manusia biasa. ada kelebihan yang sebegitu bukankah menjadikan hidup ini lebih seronok?
aku memang tiada kelebihan yang sebegitu. tidak sekuat Superman, tak boleh terbang, tak boleh bertukar jadi hijau, tak boleh memanjat bangunan tanpa sebarang alatan keselamatan, tak ada kerja yang kool, dan macam-macam lagi yang aku tiada.
kalau berbanding dengan manusia biasa bagaimana? apa kelebihan korang? pandai menyanyi? pandai bersukan? pandai berjudi? pandai berkung-fu?
apa kelebihan aku? aku tak pandai menyanyi, tak terer bersukan, tak hensem mana pun, tak kuat macam The Rock, bukan seorang genius, bukan anak Dato' yang kaya-raya dan bukan sesiapa yang penting pun.
tapi dalam masa yang sama aku perasan sesuatu. aku bukanlah seorang yang tidak boleh bersukan langsung, masih boleh bersuara walaupun tak pandai menyanyi, tidak sehodoh sehinggakan membuat orang ramai termuntah-muntah, tidak la selemah sehingga gagal menggunakan tanganku sendiri untuk menyuap makanan, tidak la sebodoh lembu, juga bukan la anak seorang yang miskin sehingga memerlukan bantuan Bersamamu TV3.
kalau boleh dibuat graf, rasanya graf kebolehan ku adalah mendatar tanpa ada gunung yang tinggi mahupun jurang yang dalam. semua nya berada dalam keadaan yang normal. ye, normal.
tidak seperti orang lain yang mungkin hebat dalam bersukan tetapi mungkin kurang bijak dalam pelajaran, aku sentiasa berada ditengah-tengah. hampir semua perkara yang mampu aku fikirkan menunjukkan aku berada dalam keadaan tersebut.
mungkin inilah kelebihan aku. mampu melakukan hampir semua perkara pada tahap yang sama. di tengah-tengah.
hmmmmm......

Saturday, August 16, 2008

misteri.......

pelbagai bunyi kedengaran...
tung tung tung
ting ting ting

kepala dipusingkan
mata memerhati
otak mengkaji....

bunyi apa itu?

haruman pelbagai pula yang datang..
palbagai..
bau apa ni?

kruk kret berbunyi
dari mana ia datang..
kenapa ia berbunyi??

ku amati lagi..
bunyi yang datang tidak jauh
dekat...dekat...dekat....

diamati sedalam-dalamnya
dari bawah.. bawah dada...
perut rupanya
aku lapar...
haruman masakan dari dapur memperkosa perut ku...
mak...sedapnya bau...

Friday, August 15, 2008

Sedikit pandangan Tokoh Ulama (PAS) mengenai isu -sumpah Saiful Bukhari

IPOH: 16 Ogos (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr. Haron Din mempersoalkan sumpah yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan semalam yang dibuat di hadapan seorang imam kerana sebagai orang yang mendakwa ianya diliwat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Saiful sepatutnya mengemukakan empat orang saksi bagi mensabitkan perbuatan itu, bukannya bersumpah di dalam masjid
Kemukakan empat orang saksi di Mahkamah Syariah, jika tidak dapat mengemukakan empat saksi, dakwaannya itu tidak benar dan ia wajar dihukum 80 kali rotan, bukannya bersumpah di dalam masjid."
"Saya dengar lafaz sumpahnya tadi apabila menonton televisyen berita jam 8.00 malam, akhir sumpah itu disebut " Watangallahhu', mana ada `watangallahu', inilah Islam Hadhari" jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sumpah yang dilakukan oleh Saiful di dalam Masjid Wilayah Persekutuan semalam di majlis foram perdana sempena Muktamar PAS kali ke 54 di perkarangan Stadium Indera Mulia, malam tadi.

IPOH, 16 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menganggap tindakan bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan bagi mempertahankan kebenaran dirinya terhadap kes liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah suatu kebodohan.
Menurutnya, lebih malang lagi ia melibatkan mereka yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai agama.
"Ianya suatu kebodohan dan lebih malang lagi melibatkan golongan yang memakai jenama Islam," katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 hari ini.
Jelasnya, kes tersebut adalah dikategorikan sebagai kes yang menyamai kes zina.
Menurut beliau, merujuk kepada artikel 121 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kes liwat yang dikiaskan kepada hukuman zina perlu diadili di mahkamah syariah.
Sumpah yang diucapkan oleh Saiful juga, ujar beliau hanya boleh dilakukan oleh isteri atau suami yang menuduh pasangan mereka melakukan zina.
Hukum yang disebut sebagai li'an dalam perundangan Islam ini, jelasnya tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan seperti dalam kes liwat Saiful.

-dipetik dari HarakahDaily.net

Segalanya mungkin...

Saiful Bukhari telah pun bersumpah secara sumpah laknat. ini bermakna beliau cukup berani mengambil risiko terhadap sumpah yang dibuat. seperti yang diketahui, bermuhabalah atau sumpah laknat ini, mengundang kemurkaan dan laknat Allah s.w.t sekiranya terdapat percanggahan antara perbuatan yang dilakukan dengan sumpah yang diutarakan. secara logikya, bukan senang bagi seseorang untuk membuat sumpah sebegini kecuali seseorang itu benar-benar yakin akan perbuatannya ataupun seseorang itu mengalami masalah dengan mentalnya sendiri. aku tidak bermaksud bahawa Saiful Bukhari ini seorang yang cacat mental ataupun tidak waras. jauh sekali mengatakan dia mengidap skizofrenia. tidak sama sekali. cuma di era zaman yang serba maju dan canggih ini, kelihatan bahawa perkara sumpah menyumpah ini seolah-olah tidak bermakna lagi. sesiapa pun di lihat terlalu senang bersumpah. sesiapa pun. hatta pasangan kekasih pun saban hari mengucapkan sumpah. namun yang terpendam dalam hati hanyalah dia dan Tuhan yang tahu.
aku tidak bermaksud mempersoalkan kebenaran sumpah si Saiful ini. sumpah tidak. (aku pun dah terikut-ikut dengan amalan bersumpah....hihi). mungkin beliau di pihak yang benar. mungkin benar beliau di aniayai. mungkin. tetapi tetap ada kemungkinan sumpah ini telah dipermainkan. sekiranya benar sumpah ini di permainkan, bermakna beliau sengaja mencari pasal. bukan sahaja mencari pasal sesama manusia, tetapi juga mencari pasal dengan Tuhan yang menciptakan beliau di muka bumi ini. mudah-mudahan ini semua tidak berlaku.
tarikh persumpahan yang dibuat telah menimbulkan spekulasi yang tidak enak di dengar. sumpah dihadapan beberapa saksi yang berwibawa ini dilakukan sehari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh. mungkin ini secara kebetulan sahaja. atau mungkin juga ini disengajakan. segalanya mungkin.
ada pihak yang mempersoalkan tarikh yang dipilih kerana kononnya akan membuatkan rakyat Permatang Pauh berfikir banyak kali akan calon yang akan dipangkahnya nanti. sudah pastinya spekulasi ini ditimbulkan oleh para penyokong pihak yang tertuduh (DSAI). memikirkan perkara sebegitu adalah hak mereka. mungkin ini hanyalah andaian yang tak berasas. mungkin juga dakwaan ini berasas. dalam politik, segalanya mungkin.
satu perkara yang diramalkan akan berlaku (sekurang-kurangnya oleh aku) ialah DSAI sendiri juga akan membuat sumpah yang sama dalam masa terdekat. penafian akan dibuat. demi kepentingan mendapatkan mandat memerintah, nama baik harus dijaga. sumpah yang sama akan dibuat juga dihadapan mereka-mereka yang layak dan berpengaruh. mungkin juga sumpah yang akan dibuat, disiarkan secara langsung di kaca televisyen. mungkin..
sekiranya ramalan ini benar-benar berlaku, akan meningkatlah penggunaan panadol di kalangan rakyat Malaysia. masing-masing akan pening kepala memikirkan yang mana harus disokong. nasihat aku kepada rakyat Malaysia sekalian yang membaca apa yang aku coretkan disini; dapatkan stok panadol selagi ada di pasaran.
maaf sekiranya ada yang memikirkan bahawa aku menyebelahi mana-mana pihak. aku tidak mengatakan pilihan aku dalam kes ni setelah sumpah dibuat. aku tak layak pun nak menyebelahi sesiapa dalam pertikaian ini.
kepada saudara-saudari sekalian, aku menyarankan sekiranya benar DSAI juga membuat sumpah yang sama mempertahankan dirinya, maka hendaklah kita mendiamkan mulut kita dalam membuat penilaian yang mana benar dan yang mana salah. biarlah sumpah yang memainkan peranan. sesungguhnya, laknat Tuhan jangan di buat main. tidak tertanggung azabnya nanti. biarlah Tuhan yang menentukan segalanya selepas itu. itu pun sekiranya ramalanku benar berlaka.
tetapi mngkin juga ramalanku salah. siapa yang tahu. segalanya mungkin..

Thursday, August 14, 2008

mempelam matang???

di mana letaknya kematangan manusia?
kalau pokok dapatlah dikatakan matang apabila telah berjaya menghasilkan hasilannya berupa buah-buahan.
kalau buah pula dikatakan matang apabila telah sedia untuk dimakan. dalam erti kata lain, dah masak. dah ranum. serta tak pahit dan kelat kalau buahnya bernama mempelam.
kalau manusia bagaimana? bilakah manusia akan benar-benar matang?
ada yang mengatakan kematangan bagi perempuan apabila telah berjaya mencapai usia 18 tahun. sweet 18. bagi lelaki, ada yang berpendapat kematangan berlaku apabila mencapai usia 21 tahun. benarkah pernyatan di atas? ada sesiapa yang berani jamin kematangan dicapai melalui umur??
ada sesetengah manusia kelihatan matang sebelum mencapai umur seperti diatas. ada yang sudah terlebih umur namun dikatakan belum matang.
satu lagi pendapat mengatakan kematangan manusia hanya berlaku apabila manusia tersebut menempuh alam rumah tangga. tapi ada juga terdengar bahawa mereka yang telah pun mempunyai anak masih berperangai seperti kanak-kanak rebina.
di manakah terletaknya kematangan yang sebenarnya?
kenapa secara tiba-tiba aku membebel tentang kematangan ni? adakah aku sendiri sudah cukup matang?? aku sendiri tiada jawapan kepada persoalan tersebut. aku rasa aku cukup matang apabila dikelilingi mereka yang kurang matang dari aku. dan aku rasa aku masih jauh dari matang apabila aku berbicara dan berinteraksi dengan mereka yang lebih matang dari aku. mungkin aku ni jenis yang masih separa matang kot. kalau nak ibaratkan buah mempelam, mungkin sudah menjadi mempelam muda. yang sudah enak dibuat colek. telah melapasi tahap putik namun belum mencapai tahap masak ranum.
aku menggerakkan jari-jemari ku menaip hal ini kerana aku agak konfius hari ini. aku menghabiskan masa petang aku dengan melawati blog-blog insan lain yang terdapat di muka bumi ciptaan Tuhan ini. ye.. aku memang suka menyibuk dalam blog orang lain..hehehehe
sesuatu yang menarik telah dapat aku perhatikan hari ni yang berjaya membuka ruang pemikiran otak ku untuk berfikir sejenak mengenai kematangan.
semuanya tercetus gara-gara melawati satu laman blog hamba Allah yang tidak ku kenali. aku taknak sebut blog mana yang menjadi sasaranku petang tadi. biar hanya aku dan orang2 tertentu sahaja yang mengetahuinya.
dalam menghayati karya penulisan insan yang aku namakan sebagai X (bukan nama sebenar) aku mendapati ruangan komennya lebih menarik dari apa yang dikarangnya dalam blog beliau.
blog beliau hanya sekadar tulisan yang amat biasa dijumpai dimana-mana blog. hanya tulisan panjang lebar yang dikarang berasaskan naluri sendiri semata mata. ini perkara biasa. tiada salahnya. blog dia. sukahatimakbapakdiala.
yang lebih menarik perhatian mataku adalah komen-komen yang wujud dalam blog tersebut. komen-komennya dipenuhi adegan kata-mengata dan bodoh-membodoh antara sesama manusia. masing-masing menyuarakan rasa yang kurang senang terhadap orang lain. dari awal komennya, hanya komen-komen mengenai tulisan yang tercatat oleh empunya blog. dibawahnya pula adegannya semakin panas. bermula dengan satu komen yang mempertikaikan penggunaan perkataan tertentu dalam tulisannya, diekori dengan mereka yang cuba mempertahankan pendapat masing-masing. kutuk mengutuk dan cabar-mencabar terus belaku. masing-masing mempertikaikan kematangan sesama sendiri. sendiri mengaku matang dan cuba menidakkan kematang pihak lain. seolah-olah hanya dia yang matang.
yang berani, memberikan komen tanpa takut mendedahkan identitinya. yang kureng berani, main nyorok-nyorok. cuba-cuba menjadi James Bond. memberikan komen yang berani tanpa berani mendedahkan diri. mungkin ini strategi mereka. siapa tahu. atau memang mereka-mereka ini penakut. hanya tahu berkokok semata mata.
emmm....

Tuesday, August 12, 2008

tercabarnya Melayu kerana 10%

12 Ogos 2008, satu perarakan telah diadakan oleh para penuntut UITM Shah Alam membuat protes terhadap cadangan membuka peluang bagi masyarakat bukan bumiputera dan rakyat asing memasuki institusi pendidikan tersebut.
cadangan yang di utarakan oleh menteri besar Selangor ini telah ditentang hebat oleh mereka atas alasan mempertahankan kepentingan Melayu.
Melayu sangatkah mereka?
rata-ratanya mengaku Melayu dan menunjukkan semangat yang tinggi terhadap semangat keMelayuan. seboleh-bolehnya mereka akan berusaha bagi menggagalkan cadangan ini.
aku tak mahu cerita banyak tentang kedaulatan Melayu. sebab benda ni dah jelas lagi nyata termaktub dalam perlembagaan negara. tiada pihak yang boleh mencabarkan kedaulatan Melayu atas kuasa yang ada dalam perlembagaan. kalau dibuat juga, menempah maut namanya. cuma aku agak terkilan dengan beberapa perkara.
antaranya, tiada langsung tercatat dalam perlembagaan bahawa membenarkan mereka yang bukan bumiputera melanjutkan pelajaran di UITM sebagai mencabar kedaulatan Melayu. TIADA.
sekadar mahu mengajak saudara-saudari berfikir, adakah membenarkan kemasukkan non-bumiputera di lingkungan 10% menjejaskan keMelayuan?
pada aku ianya hanya la satu penjelasan yang mengarut. sekadar ingin menunjuk-nunjuk kehebatan mereka dalam mempertahankan martabat Melayu sahaja.
sedangkan selama ini di manakah letaknya Melayu mereka itu? dari segi pergaulan? dah tak macam Melayu. pakaian? hari raya barulah nampak Melayunya. Makanan? sambal belacan pun dah tak berapa kenal. KFC lagi popular. atau warna kulit masih melambangkan Melayu? tak jugak. yang lelaki nampak lagi la ciri-ciri Melayunya. yang perempuan?? masing-masing sibuk nak jadi orang putih. rambut??? lagi orang putih dari orang putih.
dalam tujuan menyelamatkan orang Melayu kononnya, sebenarnya lebih teserlah akan fobia yang rata-rata orang Melayu hadapi. fobia kepada persaingan dengan bangsa asing. takut Melayu kekurangan cerdik pandai.
ada yang mengatakan hal ini patut ditentang kerana merasakan bangsa asing tidak setaraf dan tidak sepatutnya mendapat hak yang sama. sekadar memberikan peluang sebanyak 10% daripada keseluruhan tempat di UITM, takut sangatkah? takut anak-anak tidak mendapat tempat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi semata-mata kerana 10% ini?
sampai bila Melayu harus bergantung kepada subsidi? sampaikan peluang mendapatkan ilmu pun harus bergantung kepada subsidi. kalau begini, sampai bila Melayu benar-benar mampu meningkatkan taraf kehidupan mereka sendiri.
Melayu marahkan bangsa asing mendapatkan peluang yang sama kerana mereka orang luar. datang ke negara ini sehelai sepinggang namun masih lagi berupaya mengungguli tahta 10 orang terkaya di Malaysia. sebagai mereka yang waras, kita tidak seharusnya marahkan mereka kerana perkara ini. marahkan diri sendiri yang malas berusaha dan hanya tahu bergantung hidup kepada subsidi semata-mata. sepatutnya alihkan kemarahan yang ada kepada pembakar semangat untuk lebih maju dan bersaing merebut kekayaan yang ada di bumi ini. tidak seharusnya berdengki dengan kejayaan bangsa lain atas kealpaan sendiri.
aku memang amat mengerti sekiranya ada diantara saudara saudari yang tidak bersetuju dengan pandangan aku ini. mungkin kamu punya alasan kamu sendiri. aku tidak bermaksud menghasut mana-mana pihak untuk membenci keadaan ini. tidak juga bermaksud aku tidak menghargai keMelayuan yang aku miliki.
kepada mana-mana pihak yang rasa tersinggung, aku tak boleh nak buat apa. hati kamu, hak kamu, kamu sendirilah yang merasa. kamu sendirilah yang merawatnya sekiranya terluka.
aku sekadar menyuarakan pendapatku yang tidak seberapa. aku bukan profesor, bukan juga seorang pujangga. yang boleh diterima, terimalah dengan hati yang terbuka. yang pahit ditelan sahaja.

Monday, August 11, 2008

golden dream

setiap manusia mempunyai sesuatu yang ingin dicapai. seseorang juga mungkin terlalu obses untuk mendapatkan sesuatu. senang cakap 'golden dream' la.
semasa kecil aku begitu suka melihat perlumbaan moto GP. Nama-nama seperti Wanne Ranney, John Kontinski (harap-harap betul la ejaannya sebegini, maklumlah dah lama) dan banyak lagi sering menjadi idola aku. kemudian setelah membesar sikit, aku menjadikan Mic Doohan sebagai idola aku. kehebatannya berlumba memang mampu memukau aku sehingga berjam-jam mengadap tv tanpa memperdulikan makan minum. pada aku Mic Doohan memang terer. Vanlentino Rossi pun pada aku takkan mampu menggantikan kehebatan beliau.
ketaksubkan aku terhadap moto GP sehinggakan aku pernah berangan-angan menjadi seorang perlumba moto profesional. bahkan aku pernah cakap pada abah aku yang aku nak jadi perlumba moto GP. tapi apakan daya aku tak mendapat sebarang galakkan daripada beliau. takpe la. aku tak ambil hati pun. ambil peparu dengan limpa je.
walaupun tak tercapai impian untuk menjadi seorang pelumba moto GP, namun aku masih memegang satu cita-cita yang best. aku nak beli superbike aku sendiri. suatu hari nanti aku akan beli. tengoklah.
sekarang aku dah bekerja. walaupun gaji aku tak seberapa, namun cita-cita nak memiliki sebuah superbike masih lagi menjadi keutamaan aku. aku ada cakap pada mak abah aku, aku nak beli superbike. tapi masih tak mendapat restu lagi. diaorang kata cari kereta dulu. motor besar bukannya penting sangat. (ps-penting amat pada aku)
walaupun aku buat muka selamber semasa mendapat ayat tersebut, tapi dalam hati aku perasaan mahu menunggang sebuah superbike masih membuak-buak. aku tak kira. ada duit nanti aku tetap nak beli. tapi rasanya lambat lagi la. kena la cari kereta dulu. kena dengar cakap mak abah dulu. (kes taknak jadi anak derhaka la ni)
dulu semasa masih belajar, di sebelah katil aku ada satu poster yang best. poster Honda CBR 600rr. itu la yang aku hadap tiap-tiap kali celik mata. memang aku gilakan motor ni. kalau dapat, aku sanggup tunda hasrat nak kawin selama setahun. hehehehe
kalau korang perasan, dari awal kemunculan blog ni lagi aku dah letakkan gambar buah hati aku pada bahagian atas sebelah kiri. ala yang warna merah tu. tu la buah hati idaman aku sekarang ni. amacam?? cun tak???
sebagai penambahan, buat masa sekarang aku hanya mampu memiliki Honda Wave 125r je. itu la harta aku yang paling mahal sekarang ni. huhuhu

Sunday, August 10, 2008

fight fire with water



korang-korang kenal siapa diatas???


ni la kumpulan d'riyard.


sapa dia plak d'riyard nie?


ni la kumpulan rock dulu-dulu yang vokalisnya sekarang seorang ustaz dan penceramah bebas yang popular di tanah air kita sekarang. satu-satunya ustaz yang berambut panjang dan kemas. macam aku dulu-dulu. aku memang suka berambut panjang. tapi apakan daya, tuntutan kerja menyebabkan aku terpaksa berrambut pendek macam budak sekolah.


kepada mereka yang hanya mengenali Ustaz Akhil Hayy dengan lagu-lagu dakwah, maka disini aku lampirkan klip video (kalau boleh dipanggil klip video la...) yang memang susah nak jumpa di pasaran terang, tak dapat di cari di mana-mana kedai kaset dan cd lagi. pasaran gelap banyak.


Ustaz Akhil telah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil. tiada sebab untuk kita terus hidup dalam dunia jahilliah yang kita ciptakan sendiri. asalkan cara yang diambil betul dan tepat. bak kata Ustaz Akhil sendiri "fight fire with water".

Saturday, August 9, 2008

Olimpik 2008 dan RM1 juta


Olimpik 2008 Beijing baru melabuhkan tirai permbukaannya malam tadi

sepekara yang menarik tentang Olimpik kali ini tentunya tarikh perasmiannya- 08.08.08.

angka 8 bagi masyarakat Cina melambangkan makna kekayaan. Oleh sebab itu, maka tarikh ini telah dipilih sebagai permulaan Olimpik di China.


Satu lagi yang menarik mengenai Olimpik kali ini pastinya ganjaran wang tunai RM1 juta yang dijanjikan kepada mana-mana atlet Malaysia yang berjaya mendapat pingat emas. pingat yang selama ini masih lagi belum dirasai oleh Malaysia. setakat emas sukan Komenwel tu adalah. tu pun tak banyak mana. paling banyak pun semasa Malaysia menjadi tuan rumah. yang menyumbangkan pingat emas paling banyak pun rasanya acara gimnastik je.


akhirnya ada jugak peluang atlet Malaysia nak dapat duit yang banyak. selama ini, hanya industri hiburan je yang berani menawarkan duit sebanyak tu. contohnya "who want to be a milioner", "one in a milion" dan yang terbaru "jangan lupa lirik".


kepada rakyat Malaysia yang lain yang sibuk berbunyi bahawa ganjaran RM1 juta tu terlampau banyak sebagai habuan kepada atlet, aku nasihatkan supaya tutup je la mulut tu. korang bising semata-mata sebab korang tak berpeluang nak bersaing. kalau ganjaran tu di tawarkan kepada korang baru korang tau. gelap mata korang jadinya.

lagi pun, bukannya senang bagi atlet Malaysia nak mendapat pingat emas sukan Olimpik ni. yang dilihat ada peluang pun sekadar acara badminton, memanah dan lumba basikal je. tu pun belum tentu emasnya. sukan yang lain tu rasanya sekadar jadi acara untuk cuba bersaing je. tak di letakkan harapan yang tinggi pun.

jadi tak usah la ada lagi yang menyimpan rasa tak puas hati. kalau korang teringin nak merasa pegang duit RM1 juta aku sarankan korang pergi berlatih kareoke. hafal lagu-lagu yang ada. lepas tu masuk rancangan "jangan lupa lirik".

Thursday, August 7, 2008

wanita..!!


air; 35 liter, karbon; 20 kg, ammonia; 4 liter, kapur; 1.5 kg, fosforus; 800 gram, garam; 250 gram, sulfur; 80 gram, ferum; 5 gram, silikon; 3 gram, serta lebih kurang 16 lagi bahan-bahan lain. ini adalah campuran bahan kimia dalam struktur orang dewasa.

tapi semua ini hanya berfungsi sekiranya manusia itu adalah berjantina lelaki.

bagi wanita, kesemua ini harus dicampur dengan
1-sedikit emosional,
2-sensitiviti yang melampau,
3- kerungsingan tanpa sebab.

tanpa tambahan 3 bahan ini, tidakkan mampu menghasilkan wanita yang sempurna.


begitu sukarnya memahami jiwa seorang wanita. bagi lelaki-lelaki di luar sana, ketahui lah bahawa SAMPAI MATI PUN KAMU TAKKAN MAMPU MEMAHAMI APA ITU WANITA YANG SEBENAR.


wanita itu sediri membawa maksud yang terlalu kompleks sehinggakan ahli falsafah sehebat Aristotle pun belum cukup mampu membantu dalam memahaminya.
wanita.........

Wednesday, August 6, 2008

sudah terhanduk baru nak terngadah

sudah menjadi tabiat warga bumi agaknya untuk mempraktikkan peribahasa di atas.
sukar bagi mereka yang bernyawa untuk mengamalkan 'sediakan payung sebelum hujan' sebaliknya lebih berminat dengan kepala yang terhantuk. hehehe mengapa ye??

sebenarnya peribahasa di atas aku tujukan khas kepada beberapa perkara yang agak hangat buat masa sekarang di media-media yang terdapat di tanah air.
contohnya:
1-UMNO mengajak PAS bekerjasama dalam membentuk kerajaan di Selangor, Perak dan Pahang. semata-mata kerana bangsa Melayu. sebelum ini masing-masing jual mahal. siap bergaduh-gaduh lagi.
2-seorang lagi bayi dilarikan ke Pakistan oleh bapanya yang berkahwin dengan wanita tempatan. maka sibuklah si isteri berjumpa dengan pelbagai pihak untuk meminta bantuan. siap merayu kepada seluruh rakyat Malaysia lagi. waktu nak kawin takde pulak tanya kat masyarakat. kenduri pun belum tentu ajak. bila dah susah baru teringat pada rakyat Malaysia.
3-bila kerajaan Terengganu nak pakai Merc ganti Perdana, bising-bising, baru nak kata kereta Malaysia sebenarnya bagus. siap panggil BPR lagi siasat bengkel-bengkel yang buat servis. sebelum ni tak tau banyak mana dah rasuah secara kecil-kecilan ni berlaku. bukan setakat di Terengganu je. negeri lain pun sama.
4-jejambat MRR2. berlaku lagi keretakan. siap simen jatuh atas kereta-kereta orang lagi. sekali lagi kena buat pembetulan. kalaulah dibuat betul-betul masa proses pembinaannya, dah tentu takkan berulang tragedi yang sama. dahlah sekali diperbetulkan menggunakan duit yang banyak. kalau tak silap, kes tahun 2006 je makan rm70 juta. kali ni tak tahu la berapa pulak.

semua ni hanya lah sebahagian dari apa yang berlaku di sekeliling kita. banyak lagi perkara yang berlaku yang boleh dikaitkan. tapi aku pilih perkara ni sebab ianya masih fresh dan menjadi berita hangat di negara. kalau aku kaitkan dengan cerita Mak Limah kang, pening pulak kepala korang-korang nak faham.
kepada korang semua, sila fahami maksud peribahasa di atas dan kaitkannya dengan diri korang. lepas tu sila fikirkan sendiri sambil tersenyum. senyum ala-ala The Joker pun boleh. takde sesiapa yang nak marah.

anyway, cerita The Dark Knight memang best. aku suka watak antogonis dia. seorang penjahat kejam yang cool.....macam aku.

Tuesday, August 5, 2008

kami the movie























PROMOSI PERCUMA UNTUK KAMI THE MOVIE..




aku suka layan cite ni.


ok, aku mengaku, asalnya aku tengok cite ni semata mata nak tengok si Juliana Evans ni berlakon.


aku suka tengok dia. dari mula dia jadi pengacara REMAJA lagi.


aku dah pernah tengok dia secara live. percayalah, dia memang jenis yang korang bayangkan. one simple word to discribe: 'manja'




tapi suka aku ni stakat suka tengok je la. nak buat jadi girlfriend?? hell NO.....
sama-sama la kita nantikan filem ni keluar. kepada korang yang selama ni hanya layan cite-cite cinta yang tah hape-hape dari Yusof Haslam, apa kata tukar selera. cuba sesuatu yang baru. sesungguhnya perubahan itu tidak seharusnya menyakitkan.....







langit tak selalu cerah

cuba tengok klip di atas dan bayangkan :

1-anda salah seorang perompak tersebut

2-anda salah seorang polis dalam kejadian di atas

apa yang anda rasa????

Monday, August 4, 2008

akhirnya aku mc

dah tengah malam
bintik-bintik merah semakin bertambah
muka dah macam alien
kompom, esok aku mc

denggi...oh no...

hari ni aku dapat pengalaman baru
aku pergi ke klinik, sebab dah 5 hari dah aku demam
aku malas nak pergi klinik sebenarnya. tapi bila pagi ni kawan sepejabat aku tegur; ada bintik-bintik dekat muka dan tangan aku, maka aku mengambil keputusan untuk pergi.
kalau demam biasa aku tak lah heran sangat.
buatnya kena denggi, jadi kes naya nanti.

dengan beraninya aku pun berjumpa le dengan M.A di klinik tersebut.
darah aku diambil untuk diuji.
keputusannya: bebas denggi
fuhhh...lega

petang ni, bintik-bintik makin banyak,
siap gatal-gatal lagi.
sah,

demam campak.

Sunday, August 3, 2008

keAJAIBan sumber alam Malaysia


ada sesiapa tahu daun yang aku lampirkan di sini???
kepada mereka yang dah biasa menggunakannya pasti tersenyum.
kepada mereka yang belum mengetahuinya, ketahuilah kamu bahawa ini la rupa daun ketum yang amat popular di kalangan sebilangan rakyat Malaysia.
daun ini dikatakan mempunyai pelbagai khasiat yang mampu memberikan tenaga tambahan kapada mereka yang memerlukannya. kepada mereka yang bekerja menggunakan kudrat dalam mencari rezeki, penggunaan daun ketum dikatakan mampu membantu mereka menjana sumber tenaga yang tidak kehabisan.
betul atau tidak aku tak tahu.
aku tak mengamalkannya pun. aku cuma pengamal RedBull jer....
daun ini biasanya akan direbus dan airnya yang bewarna hijau kekuningan diminum secara segar.
kepada mereka yang lebih hardcore, penambahan bahan perisa seperti ubat nyamuk, ubat gegat dan pelbagai lagi bahan perasa yang pelik-pelik mampu menambahkan lagi kepowerannya.
ada komen??? ada pendapat?? atau ada sesuatu yang berkaitan yang ingin dikongsi???
salurkan terus keruangan komen aku ni. tiada sebarang bayaran dikenakan..
adios....

PM kata AKU kata...

PM kata kereta Malaysia bagus...
PM kata Proton setanding dengan jenama luar...
PM kata kereta nasional murah dibeli dan murah kos penyelenggaraannya...

AKU kata kereta Malaysia tak bagus (selalu rosak, tak tahan lama)
AKU kata Proton tak setanding langsung dengan jenama luar.(jangan kata BMW, dengan jenama SangYoong pun tak terlawan)
AKU kata kereta luar mahal hanya kerana cukai. (VIOS pun dah kira tambah cukai pun tak semahal sesetengah kereta tempatan, kualiti jauh lebih baik)

Friday, August 1, 2008

lagi orang Hilang.....

Malaysia pernah dikejutkan dengan berita kehilangan beberapa orang kanak-kanak yang saban tahun bertambah bilangannya. semasa aku kecil lagi, mak dengan abah aku selalu berpesan supaya berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali. masih terbayang dalam kepala aku cerita tentang penculikan kanak-kanak yang dikatakan diculik untuk dijadikan pengemis di Thailand. cerita ini ditambahkan lagi dengan kekejaman yang akan dilakukan oleh penculik terhadap kanak-kanak yang diculik. kanak-kanak yang diculik dikatakan akan dipotong tangan atau kakinya untuk menjadikan mereka pengemis yang akan dikasihani ramai. tidak kurang juga cerita tentang penculikan kanak-kanak untuk mendapatkan organ-organ dalaman mereka untuk dijual di pasaran gelap. cerita ini benar-benar berkesan, sekurang-kurangnya kepada aku. dengan momokan cerita sebegini saban hari, menjadikan aku seorang kanak-kanak yang berhati-hati dan mampu berdikari hingga menjadi besar panjang seperti sekarang.

kes kanak-kanak hilang amat mudah menarik perhatian dan simpati orang ramai. kes kehilangan adik Nurul Jazlin contohnya, menjadi berita hangat negara dan kehilangannya amat dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia. begitu juga dengan kehilangan adik Sharlinie Mohd Nasyar. kehilangannya yang sehingga kini belum terjawab telah memeningkan kepala orang ramai. pelbagai usaha telah dilakukan sama ada melalui cara moden mahupun cara tradisional. namun, usaha yang dilakukan belum memadai. beliau dan kanak-kanak lain masih lagi hilang secara misteri.

bagi yang telah melewati zaman kanak-kanak pula, tidak bermakna mempunyai peluang yang rendah untuk hilang. golongan remaja terutamanya perempuan kerap kali dilaporkan hilang sama ada diculik, dibawa lari, mahu pun lari mengikut kawan-kawan dan teman lelaki sehingga ke Lombok sekalipun. mungkin faktor usia yang remaja menjadikan mereka berani bertindak bodoh sedemikian. pengaruh pantun 'nasi lemak buah bidara' masih mampu mempengaruhi golongan ini dalam berfikir.

kes kehilangan seperti diatas adalah kes-kes yang biasa. tetapi di Malaysia kini wujud pula senario baru tentang kehilangan dan ianya seolah-olah berjangkit antara satu sama lain. tidak diketahui jenis virus yang memainkan peranan dalam penyebaran gejala ini. gejala ini dilihat hanya menjangkiti mereka yang mempunyai kaitan dengan kes-kes berprofil tinggi di dalam negara. antara kes yang terlibat ialah;

1-Balasubramaniam
hilang selepas menggemparkan negara melalui pendedahan dua akuan bersumpah mengenai pembabitan Dato Seri Najib dalam kes pengeboman warga Monggolia, Altantuya Shaariibuu. dikatakan sengaja menghilangkan diri selepas berjaya membuat satu akuan bersumpah baru yang di siapkan dalam tempoh hanya satu malam yang menidakkan akuan bersumpah asal yang mengambil masa lebih kurang sebulan untuk disiapkan bersama-sama peguam beliau.

2-Saiful Bukhari
hilang selepas dikatakan membuat satu laporan mengenai kes liwat yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim. sehingga kini dikatakan masih bersembunyi di tempat rahsia. tidak pernah kelihatan lagi di khalayak ramai selepas membuat laporan tersebut. hanya berinteraksi dengan masyarakat melaui surat yang dibacakan oleh peguam dan Uncle beliau.

3-Dr. Muhammad Osman (Hospital Pusrawi)
hilang dari pandangan umum selepas dikatakan ditemu ramah oleh pihak polis Bukit Aman berhubung laporan perubatan yang dikatakan melibatkan pemeriksaan ke atas Saiful Bukhari terlepas ke pengetahuan umum. pihak hospital hanya mengatakan beliau pergi bercuti bersama keluarga ke destinasi yang tidak diketahui. tempoh bercuti juga tidak dapat dikenalpasti oleh pihak hospital.

ini adalah beberapa kes kehilangan yang tidak melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja, namun masih mendapat perhatian yang tinggi dari kalangan masyarakat Malaysia. ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia sememangnya prihatin terhadap kes-kes sebegini dan membuktikan sekali lagi bahawa faktor umur bukan penghalang kepada mereka dalam mendapat perhatian dan kasih sayang masyarakat.