Friday, August 29, 2008

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak





tontoni animasi ini dah pelajari sesuatu.






ini merupakan salah satu animasi terbaik yang pernah dihasilkan di Malaysia. sila berikan pujian kepada mereka yang terlibat dalam pembikinannya.

episod baru akan menemui kita semua semperna Ramadhan tahun ini. 7 malam setiap Jumaat hingga Ahad di TV9.

Wednesday, August 27, 2008

aku orang, bukannya zombie...

saban tahun petronas akan mengeluarkan iklan-iklan yang best semperna hari-hari tertentu seperti merdeka dan hari raya.

dan di bawah ini merupakan iklan rasmi mereka untuk merdeka yang ke-51

aku sendiri secara peribadi sentiasa ternanti-nanti iklan-iklan sebegini di kaca televisyen. iklan yang akan membawa otak aku berfikir secara kreatif dan mengujakan. jauh sekali dengan iklan makanan ringan yang dibuat secara jimat kos seperti iklan CocoPie. yang biasanya disiarkan semasa tayangan kartun Kiteretsu jam 7.30 mlm hari Rabu di TV3. ala, iklan budak gemuk yang mendapatkan makanan tergantung dengan menggunakan kuasa aura kentut. cis.. iklan kurang sopan.

berbalik dengan iklan di atas, menunjukkan betapa mulia dan bertanggungjawabnya seorang bapa yang pada mata kasar dilihat sentiasa berjimat ala-ala kedekut tahik hidung masin. tapi akhirnya menyedarkan anaknya bahawa apa yang dilakukan selama ini adalah demi masa depan anaknya sendiri. walaupun hanya menjual cempedak, namun berjaya menyimpan wang sehingga berjumlah 40 ribu lebih. huhuhu banyak tu..

penghasilan iklan sebegini mengingatkan aku betapa sayangnya abah aku pada aku. walaupun semasa kecik aku pernah tertanya-tanya mengapalah aku mendapat abah yang super duper garang. ya.. aku merasakan bahawa abah aku dahulu kala adalah insan yang paling menakutkan dalam dunia. tiada yang lebih menakutkan daripada kemarahan beliau. hehehe tapi apabila aku semakin besar, tinggi dan semakin berumur.. aku dapat rasakan perubahan yang ketara pada anggapanku sebelum ini. abah aku taklah seganas mana. bahkan sporting sebenarnya. aku sebenarnya berasa amat berterima kasih atas keganasan dan kebrutalan yang beliau tunjukkan dengan didampingi permaisuri beliau merangkap mak aku, yang juga agak menakutkan aku satu masa dahulu. kerana kebrutalan itulah aku adik beradik berjaya menjadi orang dan bukannya menjadi zombie..huhu

aku sayang mak dengan abah aku......hahahahaha

Tuesday, August 26, 2008

26 OgOs 2oo8

apa yang korang buat pada petang hari ini 26 Ogos 2008?
harap-harap semuanya berjaya memfaedahkan kelakuan masing-masing macam aku ni. heheheh
apa yang aku buat?
petang hari yang dingin akibat dari turunnya rahmat dari langit membuatkan aktivitiku sedikit terbatas. tak boleh nak keluar.
nasib baik hari ni spesel sikit. ada jugak aktiviti yang mampu menghilangkan rasa boring aku.
apa yang spesel?
hari ini hari pembuangan undi di Permatang Pauh.
satu Malaysia duk tertunggu-tunggu keputusan pilihan raya ni. masing-masing nak tahu berita terkini. semua tertanya-tanya siapa yang menang. PKR kah? BN kah? atau AKIM kah? (AKIM bagaimana pun boleh diabaikan dalam kes ini)
sebagai rakyat Malaysia yang prihatin lagi sensitif mengenai perkembangan politik tanah air, aku pun tak mahu ketinggalan mengikuti perkembangan yang berlaku di sana. nak juga tahu sama ada berkembang ke tidak suasana di sana. atau pun semuanya mengucup?
demi merealisasikan matlamat aku hari ni, maka aku menggunakan segala kemudahan yang ada disekeliling aku. TV di ruang tamu terpasang. menanti dan memerhati maklumat yang mungkin ada. sekarang ni NTV7 dilantik sebagai saluran rasmi. jangan ditanya mengapa. paham-paham sendiri aje la.
sambil-sambil tu, PC kesayangan ni juga digunakan sepenuhnya. mencari dan terus mencari apa-apa yang terkini. sambil jari-jemari mengetuk-ngetuk kekunci papan kekunci ni. (macam lawak je ayat ni. betul ke macam ni?)
maklumat tidak rasmi yang aku dapat ketika ini (jam 7.15 pm) menunjukkan calon PKR (DSAI) telah pun mengatasi pihak lawan. di ulangi TIDAK RASMI. kalau terdapat kesilapan aku tak tanggung. hehehehe DSAI kata kalau menang dia nak turunkan lagi harga minyak (kalau dapat bentuk kerajaan la). aku sokong sangat la tu. tak larat minyak mahal. naik motor pun terasa. kalau pakai kereta tak tahu lah......

Sunday, August 24, 2008

kelebihanmu kekuranganmu jua..

apa kelebihan korang kalau nak dibandingkan dengan orang lain?
sila jawab..
jangan malu-malu..
aku manusia biasa. teramat biasa. masih tercari-cari kelebihan yang MUNGKIN ada. ataupun mungkin tiada.
semasa kecil, aku lah orangnya yang menangkap labah-labah untuk memberikan peluang kepadanya menggigit aku. ye..akulah orangnya. dengan berani ala-ala Fear Factor punya peserta, aku suakan tanganku kepada En. Labah-labah dengan harapan yang menggunung. semoga selepas digigit, aku akan menjadi sehebat Spiderman.
aku juga lah orangnya yang mengikat tuala dileher sebelum dan selepas mandi sekadar ingin menyelami perasaan seorang manusia yang bernama Clark Kent yang boleh terbang. ada awek yang cun. ada kerja yang best sebagai En. Reporter. serta kuat dan laju.
lampu picit kepunyaan abah aku pun tak berjaya melepaskan diri dari aku. ku gunakan cahaya lampu tersebut untuk menyuluh seluruh tubuhku seakan-akan cahaya tersebut adalah sinar gamma. juga dengan angan-angan yang sama tinggi. ingin menjadi makhluk hijau yang kuat dan ganas bergelar Incredible Hulk.
korang-korang bagaimana?
pernah berkelakuan sebegini?
ada? tiada??
kalau ada baguslah. itu bermakna otak korang-korang semasa kecil adalah amat aktif dan kreatif. kalau tiada, maknanya korang-korang ni tergolong dalam insan-insan yang agak malang. malang kerana gagal mengeksperimen hidup korang-korang sejak dari kecil lagi.
kenapa semuanya berkisahkan superhero?
kenapa tidak buah kelapa?
kenapa tidak tin susu?
jawapannya senang. kerana superhero hebat dan mempunyai kelebihan yang tiada pada manusia biasa. ada kelebihan yang sebegitu bukankah menjadikan hidup ini lebih seronok?
aku memang tiada kelebihan yang sebegitu. tidak sekuat Superman, tak boleh terbang, tak boleh bertukar jadi hijau, tak boleh memanjat bangunan tanpa sebarang alatan keselamatan, tak ada kerja yang kool, dan macam-macam lagi yang aku tiada.
kalau berbanding dengan manusia biasa bagaimana? apa kelebihan korang? pandai menyanyi? pandai bersukan? pandai berjudi? pandai berkung-fu?
apa kelebihan aku? aku tak pandai menyanyi, tak terer bersukan, tak hensem mana pun, tak kuat macam The Rock, bukan seorang genius, bukan anak Dato' yang kaya-raya dan bukan sesiapa yang penting pun.
tapi dalam masa yang sama aku perasan sesuatu. aku bukanlah seorang yang tidak boleh bersukan langsung, masih boleh bersuara walaupun tak pandai menyanyi, tidak sehodoh sehinggakan membuat orang ramai termuntah-muntah, tidak la selemah sehingga gagal menggunakan tanganku sendiri untuk menyuap makanan, tidak la sebodoh lembu, juga bukan la anak seorang yang miskin sehingga memerlukan bantuan Bersamamu TV3.
kalau boleh dibuat graf, rasanya graf kebolehan ku adalah mendatar tanpa ada gunung yang tinggi mahupun jurang yang dalam. semua nya berada dalam keadaan yang normal. ye, normal.
tidak seperti orang lain yang mungkin hebat dalam bersukan tetapi mungkin kurang bijak dalam pelajaran, aku sentiasa berada ditengah-tengah. hampir semua perkara yang mampu aku fikirkan menunjukkan aku berada dalam keadaan tersebut.
mungkin inilah kelebihan aku. mampu melakukan hampir semua perkara pada tahap yang sama. di tengah-tengah.
hmmmmm......

Saturday, August 16, 2008

misteri.......

pelbagai bunyi kedengaran...
tung tung tung
ting ting ting

kepala dipusingkan
mata memerhati
otak mengkaji....

bunyi apa itu?

haruman pelbagai pula yang datang..
palbagai..
bau apa ni?

kruk kret berbunyi
dari mana ia datang..
kenapa ia berbunyi??

ku amati lagi..
bunyi yang datang tidak jauh
dekat...dekat...dekat....

diamati sedalam-dalamnya
dari bawah.. bawah dada...
perut rupanya
aku lapar...
haruman masakan dari dapur memperkosa perut ku...
mak...sedapnya bau...

Friday, August 15, 2008

Sedikit pandangan Tokoh Ulama (PAS) mengenai isu -sumpah Saiful Bukhari

IPOH: 16 Ogos (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr. Haron Din mempersoalkan sumpah yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan semalam yang dibuat di hadapan seorang imam kerana sebagai orang yang mendakwa ianya diliwat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, Saiful sepatutnya mengemukakan empat orang saksi bagi mensabitkan perbuatan itu, bukannya bersumpah di dalam masjid
Kemukakan empat orang saksi di Mahkamah Syariah, jika tidak dapat mengemukakan empat saksi, dakwaannya itu tidak benar dan ia wajar dihukum 80 kali rotan, bukannya bersumpah di dalam masjid."
"Saya dengar lafaz sumpahnya tadi apabila menonton televisyen berita jam 8.00 malam, akhir sumpah itu disebut " Watangallahhu', mana ada `watangallahu', inilah Islam Hadhari" jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas sumpah yang dilakukan oleh Saiful di dalam Masjid Wilayah Persekutuan semalam di majlis foram perdana sempena Muktamar PAS kali ke 54 di perkarangan Stadium Indera Mulia, malam tadi.

IPOH, 16 Ogos (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menganggap tindakan bersumpah yang dilakukan oleh Saiful Bukhari Azlan bagi mempertahankan kebenaran dirinya terhadap kes liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah suatu kebodohan.
Menurutnya, lebih malang lagi ia melibatkan mereka yang terdiri daripada kalangan cerdik pandai agama.
"Ianya suatu kebodohan dan lebih malang lagi melibatkan golongan yang memakai jenama Islam," katanya pada sidang media di Muktamar Tahunan PAS ke-54 hari ini.
Jelasnya, kes tersebut adalah dikategorikan sebagai kes yang menyamai kes zina.
Menurut beliau, merujuk kepada artikel 121 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan, kes liwat yang dikiaskan kepada hukuman zina perlu diadili di mahkamah syariah.
Sumpah yang diucapkan oleh Saiful juga, ujar beliau hanya boleh dilakukan oleh isteri atau suami yang menuduh pasangan mereka melakukan zina.
Hukum yang disebut sebagai li'an dalam perundangan Islam ini, jelasnya tidak boleh dilakukan oleh orang yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan seperti dalam kes liwat Saiful.

-dipetik dari HarakahDaily.net

Segalanya mungkin...

Saiful Bukhari telah pun bersumpah secara sumpah laknat. ini bermakna beliau cukup berani mengambil risiko terhadap sumpah yang dibuat. seperti yang diketahui, bermuhabalah atau sumpah laknat ini, mengundang kemurkaan dan laknat Allah s.w.t sekiranya terdapat percanggahan antara perbuatan yang dilakukan dengan sumpah yang diutarakan. secara logikya, bukan senang bagi seseorang untuk membuat sumpah sebegini kecuali seseorang itu benar-benar yakin akan perbuatannya ataupun seseorang itu mengalami masalah dengan mentalnya sendiri. aku tidak bermaksud bahawa Saiful Bukhari ini seorang yang cacat mental ataupun tidak waras. jauh sekali mengatakan dia mengidap skizofrenia. tidak sama sekali. cuma di era zaman yang serba maju dan canggih ini, kelihatan bahawa perkara sumpah menyumpah ini seolah-olah tidak bermakna lagi. sesiapa pun di lihat terlalu senang bersumpah. sesiapa pun. hatta pasangan kekasih pun saban hari mengucapkan sumpah. namun yang terpendam dalam hati hanyalah dia dan Tuhan yang tahu.
aku tidak bermaksud mempersoalkan kebenaran sumpah si Saiful ini. sumpah tidak. (aku pun dah terikut-ikut dengan amalan bersumpah....hihi). mungkin beliau di pihak yang benar. mungkin benar beliau di aniayai. mungkin. tetapi tetap ada kemungkinan sumpah ini telah dipermainkan. sekiranya benar sumpah ini di permainkan, bermakna beliau sengaja mencari pasal. bukan sahaja mencari pasal sesama manusia, tetapi juga mencari pasal dengan Tuhan yang menciptakan beliau di muka bumi ini. mudah-mudahan ini semua tidak berlaku.
tarikh persumpahan yang dibuat telah menimbulkan spekulasi yang tidak enak di dengar. sumpah dihadapan beberapa saksi yang berwibawa ini dilakukan sehari sebelum hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh. mungkin ini secara kebetulan sahaja. atau mungkin juga ini disengajakan. segalanya mungkin.
ada pihak yang mempersoalkan tarikh yang dipilih kerana kononnya akan membuatkan rakyat Permatang Pauh berfikir banyak kali akan calon yang akan dipangkahnya nanti. sudah pastinya spekulasi ini ditimbulkan oleh para penyokong pihak yang tertuduh (DSAI). memikirkan perkara sebegitu adalah hak mereka. mungkin ini hanyalah andaian yang tak berasas. mungkin juga dakwaan ini berasas. dalam politik, segalanya mungkin.
satu perkara yang diramalkan akan berlaku (sekurang-kurangnya oleh aku) ialah DSAI sendiri juga akan membuat sumpah yang sama dalam masa terdekat. penafian akan dibuat. demi kepentingan mendapatkan mandat memerintah, nama baik harus dijaga. sumpah yang sama akan dibuat juga dihadapan mereka-mereka yang layak dan berpengaruh. mungkin juga sumpah yang akan dibuat, disiarkan secara langsung di kaca televisyen. mungkin..
sekiranya ramalan ini benar-benar berlaku, akan meningkatlah penggunaan panadol di kalangan rakyat Malaysia. masing-masing akan pening kepala memikirkan yang mana harus disokong. nasihat aku kepada rakyat Malaysia sekalian yang membaca apa yang aku coretkan disini; dapatkan stok panadol selagi ada di pasaran.
maaf sekiranya ada yang memikirkan bahawa aku menyebelahi mana-mana pihak. aku tidak mengatakan pilihan aku dalam kes ni setelah sumpah dibuat. aku tak layak pun nak menyebelahi sesiapa dalam pertikaian ini.
kepada saudara-saudari sekalian, aku menyarankan sekiranya benar DSAI juga membuat sumpah yang sama mempertahankan dirinya, maka hendaklah kita mendiamkan mulut kita dalam membuat penilaian yang mana benar dan yang mana salah. biarlah sumpah yang memainkan peranan. sesungguhnya, laknat Tuhan jangan di buat main. tidak tertanggung azabnya nanti. biarlah Tuhan yang menentukan segalanya selepas itu. itu pun sekiranya ramalanku benar berlaka.
tetapi mngkin juga ramalanku salah. siapa yang tahu. segalanya mungkin..