seorang lelaki berjalan penuh semangat untuk melaksanakan tugasnya. berjalan dengan langkah yang yakin sambil menyanyi-nyanyi kecil. tempat yang di tuju adalah kebun kelapa milik seorang kaya di kampung kelahirannya. ya, lelaki ini adalah seorang pemetik kelapa profesional. satu kerjaya yang diwarisi dari keturunannya.
setelah bersetuju tentang bayaran yang bakal diterima sebagai upah memetik kelapa dari tuan empunya kebun, maka lelaki itu pun memulakan tugasnya. memanjat dengan penuh kemahiran mengalahkan beruk-beruk terlatih. pada masa itu, tiada beruk yang mampu menandingi kecekapannya memanjat dan memetik buah kelapa.
dari sebiji ke sebiji yang lain. dari satu pokok ke satu pokok yang lain. bermula dengan sebiji, kini lambakan kelapa yang dipetik menjadi semakin banyak. berbiji-biji. perkiraan tentang upah yang bakal diterima bermain-main di kelapa si pemetik kelapa. merasakan upahnya nanti agak lumayan, sedikit perancangan bermain-main di fikiran.
dia bercadang untuk menggunakan upahnya nanti untuk mula mengubah cara hidupnya. dia sudah bosan memanjat pokok kelapa.
perancangan pertamanya nanti adalah untuk membeli anak-anak ayam dengan hasil upahnya. dia akan memeliharanya sehingga ayam-ayamnya nanti boleh dijual. dia ingin menjadi usahawan tani yang berjaya. setelah berjaya dengan ayamnya nanti, dia bercadang untuk membeli pula anak-anak kambing untuk dipelihara. biar dipeliharanya hingga besar, hingga boleh dipasarkan di pasar-pasar yang ada. biar untungnya nanti lebih lumayan dan berlipat ganda. dan apabila hasilnya nanti mencukupi, akan dibelinya pula baka-baka lembu. akan di ternaknya lembu-lembu terbabit hingga besar. biar hasil perolehannya juga bertambah besar. bila usahanya menjadi, akan digunakan wangnya nanti untuk mengusahakan perniagaan dengan lebih terperinci. dia bercita-cita untuk menjadi seorang pedagang yang disegani kerana kekayaannya. biar kaya seperti kata orang kampungnya; kapal di laut, gedung di darat.
tersenyum sendirian lelaki tersebut memikirkan agenda yang dirancangnya. berkira-kira akhirnya jika dia mampu memiliki pula si puteri raja.
namun takdir menentukan segalanya. atas sebab terleka mungkin, dia terjatuh. terjatuh dari pokok kelapa yang dipanjatnya. dan jatuhan itu meragut nyawanya.
maka dikenali ramai cerita tersebut. dikhabarkan dari satu generasi ke generasi yang lain. dari mana orang tahu tentang cita-citanya tidak diketahui. yang diketahui, yang diingati, hanya lah namanya. Mat Jenin.
cerita ini diperturunkan dari bapa kepada anak. daripada datuk kepada cucu. agar mengingatkan keturunannya supaya jangan berangan-angan. jangan bercita-cita tinggi hingga mahu mengahwini si Puteri. maka ramailah yang menurutnya. membataskan cita-cita demi sebuah cerita.
kapada mereka yang seperti ini, tutup lah mulutmu. hentikan dongengmu.
Mat Jenin mungkin benar mati kerana jatuh dari tempat yang tinggi. mungkin benar cita-citanya juga amat tinggi. jadi mengapa harus diperlekehkan?
walaupun Mat Jenin tidak sempat mencapai cita-citanya, namun dia telah membuka satu sifat yang mungkin tiada pada masa tersebut. bercita-cita tinggi. cita-citanya hingga ingin mengahwini Puteri mungkin akan tercapai sekiranya dia masih bernyawa. Teori perniagaan yang di rancangnya mungkin berkesan. bermula dari satu yang kecil, berusaha menjayakannya hingga mampu mencapai kejayaan yang lebih besar. bermula dengan modal yang sedikit hingga mampu tersenyum lebar.
sejarah membuktikan bahawa cara ini sememangnya berkesan. ramai jutawan, hartawan, dermawan bahkan Degawan berjaya dengan cara ini. kejayaan yang besar tidak semestinya bermula dengan modal yang besar juga.
bercita-cita tinggi juga penting. perkataan 'angan-angan' tidak menjadi satu masalah. dari angan-angan datangnya impian. dari impian datangnya cita-cita. dari cita-cita datangnya kesungguhan. dari kesungguhan datangnya kejayaan.
kepada mereka yang masih mengingati cerita 'Mat Jenin' ini, renungi cerita ini. pandang secara yang positif. ketepikan yang negatif. ubah gaya penceritaan dari cemuhan kepada pengharapan. gilapkan generasi kamu supaya bercita-cita tinggi seperti Mat Jenin. cuma... jangan sampai terjatuh dari pokok kelapa lalu mati tanpa usaha.
No comments:
Post a Comment