Thursday, July 22, 2010

gua budak baik.

gua bukan seorang yang alim. betul. gua tak warak lalu. tapi gua ada satu sifat terpuji yang belum tentu orang alim ada. gua seorang yang menepati masa.
lu jangan gelak dulu. gua cakap jujur ni. cakap orang mesjid. gua ada bukti.
gua punya tabiat yang baik dimana gua langsung takde masalah nak bangun pagi walaupun gua tido lewat. sumpah.
gua tak pernah lewat pergi sekolah masa sekolah dulu. masa kerja pun gua tak pernah lewat atas alasan lambat bangun pagi. kalau sebab hujan dengan tayar moto pancit tu adalah.
tak percaya lu boleh tanya bekas guru-guru gua sama bekas bos-bos gua.
kecuali bos gua masa gua jadi 'rempit penghantar surat'. sebab gua tau dia masih dendam sama gua pasal amoi yang dia cuba ngorat pernah belanja gua roti canai sama nescafe o ais depan dia.

Friday, July 9, 2010

Si Tanggang, Mak Tanggang dan Sang Kelembai

Kerana buah pisang. Ya, kerana buah pisang maka Mak Tanggang didustakan kebenaran bahawa Si Tanggang anaknya. Mana Mak Tanggang tahu yang Si Tanggang kini dah tak suka pisang. Tiada sesiapa yang pernah bagitahu dia. Masa kecil-kecil dulu Si Tanggang memang suka pisang. Sebab belakang rumah Mak Tanggang hanya ada pokok pisang dan ubi kayu. Mak Tanggang tak pernah tanam buah lain. Buah epal jauh sekali. Bahkan Mak Tanggang sendiri tak pernah kenal buah epal.

Mak Tanggang ingat lagi, masa kecil-kecil dulu buah pisang la feveret Si Tanggang. Tiap-tiap hari Si Tanggang minta disuapkan pisang. Monyet peliharaan mereka juga yang jarang dapat makan pisang. Semua kerana Si Tanggang. Mak Tanggang memang sayangkan Si Tanggang lebih dari sayangkan monyet. Walaupun dari segi rupa, monyet mereka lebih kacak dari Si Tanggang. Monyet mereka selalunya diberi makan nasi. Dari segi luaran, menu monyet mereka lebih manusia dari Si Tanggang.

Mak Tanggang juga tak tahu menahu yang Si Tanggang dah tukar nama. Mak Tanggang tak tahu. Memang tak tahu. Sebab tak pernah ada yang bagitahu. Mana Mak Tanggang tahu yang Si Tanggang sekarang pakai nama Brad Pitt. Bahkan seumur hidup Mak Tanggang tak pernah tahu wujudnya nama sebegitu.

Tapi Mak Tanggang tetap kenal anaknya Si Tanggang. Biarpun Si Tanggang kini dah tukar nama, dah pakai baju cantik siap berlabuci, dah pandai pakai pencuci muka, Mak Tanggang tetap kenal. Kesan tapak tangan bersaiz M pada pipi kiri Si Tanggang masih jelas pada pandangan Mak Tanggang. Mak Tanggang tahu, itu kesan tapak tangannya. Tangan kanannya lah yang telah memberikan kesan tersebut pada pipi Si Tanggang. Semua itu gara-gara terlalu geram melayan karenah Si Tanggang masa kecil yang merengek minta disuapkan pisang di tengah malam. Bukan kerana tiada pisang dalam simpanan, tetapi lebih kerana mengganggu mimpi indah Mak Tanggang.

Mak Tanggang tak sangka, panggilan 'Si Tanggang' pada anaknya dibalas dengan cacian oleh Si Tanggang. Mak Limah tahu apa yang disebut Si Tanggang itu cacian meskipun bahasanya tak pernah didengari sebelum ini. Lemparan "fak yu" Si Tanggang pada Mak Tanggang pada panggilan pertama ibunya jelas terngiang-ngiang pada Mak Tanggang. Meskipun bahasanya tidak difahami, tetapi mimik muka Si Tanggang ketika bersuara jelas menunjukkan perbuatan menghina.

Kerana kecewa, Mak Tanggang selamber berkata, "sebab kau hina aku, aku sumpah kau jadi batu."

Mak Tanggang tak sangka mulutnya sebegitu laser. Mak Tanggang tak sangka mulutnya ada power. Mak Tanggang tak berniat buruk. Mak Tanggang hanya terlepas cakap kerana kecewa. Tapi kesannya memang real. Si Tanggang dan krew-krewnya betul-betul jadi batu.

Masa itu sedikit perasaan kesal Mak Tanggang rasa. Terpikir jauh dalam otaknya "kenapa aku tak sumpah jadi permata? baru la kaya. jadi batu mana ada harga."

Sebab menyesal, Mak Tanggang bawa diri jauh ke dalam hutan. Mak Tanggang dah malas nak bersoal jawab dengan masyarakat tentang sumpahannya. Dah senak mulut Mak Tanggang cerita.

Masa menentukan segalanya. Berita Si Tanggang jadi batu sampai ke pengetahuan raja. Biasalah perangai raja, dah tahu cerita mestilah nak jumpa pula dengan orangnya. Maka keluarlah arahan diraja untuk membawa Mak Tanggang ke istana.

Para balaci-balaci di raja pun melaksanakan perintah raja. Jauhlah berjalan keliling kota. Tapi hampa tak pernah berjumpa.

Setelah puas usul periksa, maka tahulah mereka yang Mak Tanggang kini menyorok dalam hutan. Disebabkan arahan raja, tiada pilihan maka masuklah mereka ke hutan.

Dah hampir habis bekalan, jumpa la mereka dengan Mak Tanggang. Mak Tanggang yang dah lama tak berjumpa dengan orang mulalah rasa semacam. Apa gila panggil namanya di tengah hutan sambil tangan melibas parang?
Mak Tanggang lari. Balaci di raja mengejar.

Sebab dah tak larat berlari, maka Mak Tanggang pun menyumpah sekali lagi. "siapa kejar aku jadi batu."

Nak dijadikan cerita, maka hampir semua balaci menjadi batu. Yang selamat hanyalah seorang balaci. Balaci terakhir ini terselamat kerana kebetulan masa Mak Tanggang menyumpah, dia kehabisan nafas. Dia sebenarnya sedang berhenti berehat.

Dipendekkan cerita, Mak Tanggang yang dah lama menjanda akhirnya berkahwin dengan balaci raja yang terselamat itu tadi. Tinggallah mereka berdua dalam hutan. Berkawan dengan haiwan.

Semasa bersama di dalam hutan, Mak Tanggang mengambil kesempatan mengajar balaci ini tadi cara-cara menyumpah dengan betul. Adalah diharapkan Mak Tanggang agar ilmu menyumpah seranah yang dimilikinya akan diperturunkan kepada generasi seterusnya. Mak Tanggang tak mahu ilmu sebegini hilang tanpa pewaris. Terasa rugi benar kalau tiada siapa yang mewarisinya.

Sampai masa, Mak Tanggang pun sampai ajalnya. Mak Tanggang di kuburkan oleh suaminya di dalam hutan. Jauh dari orang. kerana terlalu sayangkan Mak Tanggang, si balaci bertekad untuk meneruskan cara hidupnya bersama Mak Tanggang. Diamlah balaci seorang diri di dalam hutan.

Al-kisah, si raja yang masih belum berpuas hati dengan pencariannya terhadap Mak Tanggang menghantar pasukan kedua untuk meneruskan misi mereka sebelum ini. Pasukan kedua yang dihantar raja adalah pasukan khas istana. Semuanya bertaraf Rambo belaka.

Tak sampai sepurnama, pasukan kedua ini berjaya menemui si balaci suami arwah Mak Tanggang. Di sampaikan perintah raja untuk balaci kembali ke istana. Tapi si balaci enggan. Si balaci tak nak keluar dari hutan.

Setelah bermacam usaha pujukan gagal, maka unit bertaraf Rambo ini tadi mula menggunakan kekerasan. Di belasahnya balaci tanpa belas kasihan.

Balaci yang dah tak tahan akhirnya menggunakan segala ilmu sumpahan. Di sumpahnya mereka yang membelasahnya menjadi batu. Yang tak terlibat dibiarkan pulang.

Maka bermulalah lagenda baru. Balaci yang menyumpah manusia menjadi batu mula menjadi bualan. Nama Sang Kelembai mula menjadi siulan.

Wednesday, June 9, 2010

ilmu yang rugi kalau tidak dimiliki

hari ni gua baik hati. gua nak peturun sedikit ilmu berguna buat korang-korang yang membaca. yang tak baca mende yang gua tulis ni kira termasuk dalam kelompok 'manusia-manusia yang kerugian'.

pelajaran pertama: nasihat unggul. bermakna sebuah kata-kata hikmat yang tak boleh dilawan.
contoh: "banyak dosa masuk neraka"

pelajaran kedua: perkataan berlawanan- yang ni masa nak ambil UPSR cikgu Bahasa Melayu dah penat ajar.
contoh: kanan lawan dia kiri, malas lawan dia rajin

pelajaran ketiga: gabungan pelajaran pertama dan kedua akan menghasilkan ilmu tafsiran peringkat falsafah tertinggi yang mantap!

contoh:

1. nasihat unggul: "setiap yang haram hukumnya berdosa."

2. perkataan berlawanan:
-"judi bolasepak yang dijalankan selain dari yang dilesenkan dipanggil judi haram"

maka apabila dilawankan:

-"judi bolasepak yang dijalankan melalui pihak yang dilesenkan dipanggil judi halal"

3. gabungan 1 dan 2 : "judi bolasepak yang dijalankan selain dari yang dilesenkan dipanggil judi haram. maka hukumnya berdosa. manakala judi bolasepak yang dijalankan melalui pihak yang dilesenkan dipanggil judi halal. dan apabila halal hukumnya...........................(isikan tempat kosong)

sekian. jumpa lagi di kelas yang akan datang.

Monday, May 3, 2010

sudah bosan sama sms bodoh

seberapa kerap talipon bimbit anda dimasuki mesej ringkas (sms) dari mereka yang tidak sepatutnya?
apa yang dimaksudkan dengan 'tidak sepatutnya' disini adalah sms dari mereka yang langsung anda tidak harapkan untuk memenuhi peti simpanan sms talipon bimbit anda.
dan sekiranya itu berlaku maka tidak mustahil sedikit sumpah seranah, caci-cacian dan carutan akan turut terhambur keluar tanpa perlu melalui proses tapisan yang panjang melalui otak dan sistem saraf. carutkan sahaja. dan yakinlah bahawa anda tidak bersalah.

contoh sms menyibuk yang telah memasuki talipon bimbit saya (percayalah, bukan yang pertama) dan mungkin juga talipon bimbit anda:

"+60145698919-RM0. Promotion's Shell M.(berhad) Tahniah no simcard anda tlh berjaya meraih HADIAH RM 20,000.No siri 9R 224477 YK. Sila dail di talian: 017-8969738 TERIMA KASIH"

nah, saya sertakan sekali contoh yang diambil terus (baca: salin bulat-bulat) untuk tatapan anda semua. -anda bebas untuk mendail no diatas sekiranya anda mahu.

masih ada yang mungkin terpedaya dengan kandungan sms diatas?
ya, mungkin ada. mungkin nenek-nenek kamu yang tak menonton TV, tidak membaca surat khabar, dan jarang bersua muka bersama jiran-jiran akan terpedaya.

kepada anda yang dah muak dengan sms sebegini apa tindakan ada?

saya?

oleh kerana saya mempunyai jumlah tinggalan kredit yang tak kujung habis di talipon bimbit saya, maka saya cuma membalas balik sms tersebut dengan ucapan manis "FUCK U"

sekian.



Wednesday, April 7, 2010

tikar terbang


Kader buka langkah seribu. Kader lari laju. Kader tergesa-gesa lari Sampai kader lupa nak pakai selipar. Kader bukan apa, Kader dah tak sanggup kena penangan Joyah. Dulu Joyah memang kecik je orangnya, badan solid, senyum manis. tapi sekarang Joyah dah lain. Joyah sekarang bukan lagi Joyah yang dulu. Lengan Joyah aje dah sama saiz peha Kader. Suara Joyah kalau menjerit maki hamun satu kampung bergegar.
Kader tau dia silap. Dia salah. Kader dah pesan pada GRO dangdut malam tadi, jangan tinggal kesan. Kader pesan, pandai makan pandai simpan.
Tapi GRO tu cuai. GRO tinggal kesan lipstik pada belakang tengkuk baju Kader. Tak ubah macam drama Melayu di TV. Macam iklan sabun basuh pun ada.
Kader penat. Kader berhenti rehat tepi jalan. Sebelah Kader ada sampah sarap. Hidung Kader dapat tangkap bau busuk. Tapi Kader tak peduli. Asalkan selamat dari ditangkap Joyah.
"nasib kau malang ye? hahahaha sama macam nasib aku." terdengar satu suara.
Kader pandang kiri. Kader pandang kanan.
"siapa?" Kader bertanya.
"Aku." suara tadi membalas.
"mana?" Kader tanya lagi.
"di bawah kau." bunyi suara tadi.
Kader pandang bawah, mengalihkan sedikit kedudukan punggungnya.
"Tikar buruk" spontan Kader bersuara.
"bodoh. aku ni bukan tikar biasa kau tau? aku ini tikar terbang." tikar buruk berkata-kata.
Kader terkesima. Kader terbayang filem Laksamana DoReMi. Kader teringat serapah 'zam-zam ala kazam'
"Kadeeeeeeeeeeeerrrrr" terdengar suara Joyah menggegar alam.
Kader terperanjat.
"Itu suara Joyah" kata Kader.
"wahai tikar terbang, bawalah aku jauh dari sini supaya aku selamat dari isteriku Joyah, zam-zam ala kazammmm..." arah Kader pada tikar buruk itu tadi.
senyap..........................
senyap lagi...................
tiada apa yang berlaku.
Kader pelik. Kader panik.
"kau kata kau tikar terbang. terbang la apa lagi?" Marah Kader pada tikar buruk.
"tak boleh" balas Tikar.
"kenapa?" tanya Kader lagi.
"dah lama aku tak terbang." balas Tikar.
"bila last kau terbang?" Kader tanya lagi sekali penuh saspen.
"dulu, dari Pakistan datang ke sini. aku naik kapal terbang." jawab tikar buruk selamber.



Sunday, March 28, 2010

Puteh...

Pintu terkuak perlahan. perlahan-lahan Puteh menjengkitkan kakinya. Melangkah longlai terus ke dapur. Tanpa memperdulikan Mak Limah, Puteh terus mengadap nasi yang terhidang.

"Ha, jumpa pun jalan rumah. ingat dah sesat. kemana kau ha? semalaman tak balik?" Mak Limah bersuara keras. Puteh hanya membisu.

Selesai makan, Puteh terus bangun melangkah ke bilik. Pinggan bersisa nasi berlaukkan ikan ditinggalkan begitu bersahaja. Puteh menjeling Mak Limah yang dari tadi memerhatikan gelagatnya penuh tanda tanya. Puteh tak peduli. Mata Puteh terasa berat. Terus ke bilik mengelamun dan tidur.

Mak Limah geleng kepala. Mak Limah semakin terasa perubahan Puteh. Puteh kini bukan lagi Puteh yang dahulu. Bukan lagi Puteh yang mendengar kata. Puteh sekarang semakin liar. Puteh seakan tidak lagi sayangkan Mak Limah. Puteh sudah pandai keluar malam. Kadang-kadang sampai ke pagi. Kadang-kadang berhari-hari. Mak Limah dah tak sanggup mendengar cerita jiran-jiran mengenai Puteh. Mak Limah dah bosan mendengar cerita Puteh di usung jantan ke hulu ke hilir.

Dah puas Mak Limah memberi nasihat. Tapi Puteh tak mahu dengar. Mak Limah sedar siapa dia. Mak Limah bukan ibu kandung Puteh. Mak Limah tak punya anak kandung pun. Pada Puteh la segala kasih sayang Mak Limah limpahkan. Mak Limah sendiri sebenarnya tak tahu siapa ibu Puteh yang sebenarnya. Mak Limah berjumpa puteh pada pertama kalinya di tangga rumahnya. Puteh ditinggalkan di situ tanpa sebarang pesan. Kerana belas kasihan, bertambahan pula Mak Limah tiada anak sendiri, maka Mak Limah membuat keputusan untuk menjaga Puteh.

Mak Limah masih teringat dikala Puteh masih kecil dan berkehendakkan susu. Mak Limah pernah berlari kebasahan hujan semata-mata ke kedai hujung kampung demi mencari susu buat Puteh. Mak Limah tidak punya susu sendiri. Mak Limah tidak pernah beranak.

Tapi kini Puteh sudah besar. Sudah remaja. Sudah mula mengenal dunia. Puteh punya perasaan untuk berkawan. Untuk berkasih. Mak Limah sedar hal itu. Mak Limah tak pernah menghalang. Mak Limah cuma terkilan kerana Puteh membelakangkannya.

Puteh cantik. Gebu. Seputih namanya. Puteh punya potongan badan yang mengiurkan. Lenggok punggung puteh sewaktu berjalan memang mengasyikkan mata-mata jantan yang memandang.
Mak Limah sedar hal itu.

Mak Limah perasan perubahan Puteh. Puteh bukan sahaja semakin liar bahkan semakin melawan. sikap kurang ajar Puteh kadang-kadang menjengkilkan Mak Limah.

Mak Limah juga perasan perubahan tubuh badan Puteh. Perut Puteh semakin membusung. Mak Limah cukup risau. Mak Limah tak tahu apa yang patut dilakukan. Puas dipujuk namun Puteh hanya mendiamkan diri. Puteh cukup pandai berahsia. Puteh tidak pernah membocorkan siapa kekasihnya.

Mak Limah risau. Risau sekiranya andaiannya benar. Apa yang akan berlaku nanti? Apa yang hendak dijawab bila ditanya jiran-jiran nanti? Siapa yang akan menanggung anak Puteh? Bagaimana masa depan Puteh?

....................

Satu pagi, semasa Mak Limah sibuk di dapur menyediakan makan tengah hari, terdengar suara mengerang perlahan. Terdengar esakan kecil. Di ikuti bau hamis yang memekat.

"Ya Allah Puteh...."

Mak Limah berlari ke bilik Puteh.

Dilantai, hanya beralaskan surat khabar lama, Puteh melahirkan anaknya.

Mak Limah mengucap panjang. menggelengkan kepala.

"Satu, dua, tiga, empat..." Mak Limah mengira.

"Empat ekor anak kau Puteh..."
"Puteh..Puteh... nasib baik la kau ni kucing....."

Saturday, March 27, 2010

ibarat kapal yang semakin karam
sumber ilhamku dah lama menghilang.