Sunday, March 28, 2010

Puteh...

Pintu terkuak perlahan. perlahan-lahan Puteh menjengkitkan kakinya. Melangkah longlai terus ke dapur. Tanpa memperdulikan Mak Limah, Puteh terus mengadap nasi yang terhidang.

"Ha, jumpa pun jalan rumah. ingat dah sesat. kemana kau ha? semalaman tak balik?" Mak Limah bersuara keras. Puteh hanya membisu.

Selesai makan, Puteh terus bangun melangkah ke bilik. Pinggan bersisa nasi berlaukkan ikan ditinggalkan begitu bersahaja. Puteh menjeling Mak Limah yang dari tadi memerhatikan gelagatnya penuh tanda tanya. Puteh tak peduli. Mata Puteh terasa berat. Terus ke bilik mengelamun dan tidur.

Mak Limah geleng kepala. Mak Limah semakin terasa perubahan Puteh. Puteh kini bukan lagi Puteh yang dahulu. Bukan lagi Puteh yang mendengar kata. Puteh sekarang semakin liar. Puteh seakan tidak lagi sayangkan Mak Limah. Puteh sudah pandai keluar malam. Kadang-kadang sampai ke pagi. Kadang-kadang berhari-hari. Mak Limah dah tak sanggup mendengar cerita jiran-jiran mengenai Puteh. Mak Limah dah bosan mendengar cerita Puteh di usung jantan ke hulu ke hilir.

Dah puas Mak Limah memberi nasihat. Tapi Puteh tak mahu dengar. Mak Limah sedar siapa dia. Mak Limah bukan ibu kandung Puteh. Mak Limah tak punya anak kandung pun. Pada Puteh la segala kasih sayang Mak Limah limpahkan. Mak Limah sendiri sebenarnya tak tahu siapa ibu Puteh yang sebenarnya. Mak Limah berjumpa puteh pada pertama kalinya di tangga rumahnya. Puteh ditinggalkan di situ tanpa sebarang pesan. Kerana belas kasihan, bertambahan pula Mak Limah tiada anak sendiri, maka Mak Limah membuat keputusan untuk menjaga Puteh.

Mak Limah masih teringat dikala Puteh masih kecil dan berkehendakkan susu. Mak Limah pernah berlari kebasahan hujan semata-mata ke kedai hujung kampung demi mencari susu buat Puteh. Mak Limah tidak punya susu sendiri. Mak Limah tidak pernah beranak.

Tapi kini Puteh sudah besar. Sudah remaja. Sudah mula mengenal dunia. Puteh punya perasaan untuk berkawan. Untuk berkasih. Mak Limah sedar hal itu. Mak Limah tak pernah menghalang. Mak Limah cuma terkilan kerana Puteh membelakangkannya.

Puteh cantik. Gebu. Seputih namanya. Puteh punya potongan badan yang mengiurkan. Lenggok punggung puteh sewaktu berjalan memang mengasyikkan mata-mata jantan yang memandang.
Mak Limah sedar hal itu.

Mak Limah perasan perubahan Puteh. Puteh bukan sahaja semakin liar bahkan semakin melawan. sikap kurang ajar Puteh kadang-kadang menjengkilkan Mak Limah.

Mak Limah juga perasan perubahan tubuh badan Puteh. Perut Puteh semakin membusung. Mak Limah cukup risau. Mak Limah tak tahu apa yang patut dilakukan. Puas dipujuk namun Puteh hanya mendiamkan diri. Puteh cukup pandai berahsia. Puteh tidak pernah membocorkan siapa kekasihnya.

Mak Limah risau. Risau sekiranya andaiannya benar. Apa yang akan berlaku nanti? Apa yang hendak dijawab bila ditanya jiran-jiran nanti? Siapa yang akan menanggung anak Puteh? Bagaimana masa depan Puteh?

....................

Satu pagi, semasa Mak Limah sibuk di dapur menyediakan makan tengah hari, terdengar suara mengerang perlahan. Terdengar esakan kecil. Di ikuti bau hamis yang memekat.

"Ya Allah Puteh...."

Mak Limah berlari ke bilik Puteh.

Dilantai, hanya beralaskan surat khabar lama, Puteh melahirkan anaknya.

Mak Limah mengucap panjang. menggelengkan kepala.

"Satu, dua, tiga, empat..." Mak Limah mengira.

"Empat ekor anak kau Puteh..."
"Puteh..Puteh... nasib baik la kau ni kucing....."

2 comments:

Anonymous said...

sebab kau bagi namanya pueh, maka aku dah tahu dia kucing


cubalah bagi namanya saloma ke latifah ke.. ish

koboi said...

ok. lain kali nama peah akan digunakan.