Kerana buah pisang. Ya, kerana buah pisang maka Mak Tanggang didustakan kebenaran bahawa Si Tanggang anaknya. Mana Mak Tanggang tahu yang Si Tanggang kini dah tak suka pisang. Tiada sesiapa yang pernah bagitahu dia. Masa kecil-kecil dulu Si Tanggang memang suka pisang. Sebab belakang rumah Mak Tanggang hanya ada pokok pisang dan ubi kayu. Mak Tanggang tak pernah tanam buah lain. Buah epal jauh sekali. Bahkan Mak Tanggang sendiri tak pernah kenal buah epal.
Mak Tanggang ingat lagi, masa kecil-kecil dulu buah pisang la feveret Si Tanggang. Tiap-tiap hari Si Tanggang minta disuapkan pisang. Monyet peliharaan mereka juga yang jarang dapat makan pisang. Semua kerana Si Tanggang. Mak Tanggang memang sayangkan Si Tanggang lebih dari sayangkan monyet. Walaupun dari segi rupa, monyet mereka lebih kacak dari Si Tanggang. Monyet mereka selalunya diberi makan nasi. Dari segi luaran, menu monyet mereka lebih manusia dari Si Tanggang.
Mak Tanggang juga tak tahu menahu yang Si Tanggang dah tukar nama. Mak Tanggang tak tahu. Memang tak tahu. Sebab tak pernah ada yang bagitahu. Mana Mak Tanggang tahu yang Si Tanggang sekarang pakai nama Brad Pitt. Bahkan seumur hidup Mak Tanggang tak pernah tahu wujudnya nama sebegitu.
Tapi Mak Tanggang tetap kenal anaknya Si Tanggang. Biarpun Si Tanggang kini dah tukar nama, dah pakai baju cantik siap berlabuci, dah pandai pakai pencuci muka, Mak Tanggang tetap kenal. Kesan tapak tangan bersaiz M pada pipi kiri Si Tanggang masih jelas pada pandangan Mak Tanggang. Mak Tanggang tahu, itu kesan tapak tangannya. Tangan kanannya lah yang telah memberikan kesan tersebut pada pipi Si Tanggang. Semua itu gara-gara terlalu geram melayan karenah Si Tanggang masa kecil yang merengek minta disuapkan pisang di tengah malam. Bukan kerana tiada pisang dalam simpanan, tetapi lebih kerana mengganggu mimpi indah Mak Tanggang.
Mak Tanggang tak sangka, panggilan 'Si Tanggang' pada anaknya dibalas dengan cacian oleh Si Tanggang. Mak Limah tahu apa yang disebut Si Tanggang itu cacian meskipun bahasanya tak pernah didengari sebelum ini. Lemparan "fak yu" Si Tanggang pada Mak Tanggang pada panggilan pertama ibunya jelas terngiang-ngiang pada Mak Tanggang. Meskipun bahasanya tidak difahami, tetapi mimik muka Si Tanggang ketika bersuara jelas menunjukkan perbuatan menghina.
Kerana kecewa, Mak Tanggang selamber berkata, "sebab kau hina aku, aku sumpah kau jadi batu."
Mak Tanggang tak sangka mulutnya sebegitu laser. Mak Tanggang tak sangka mulutnya ada power. Mak Tanggang tak berniat buruk. Mak Tanggang hanya terlepas cakap kerana kecewa. Tapi kesannya memang real. Si Tanggang dan krew-krewnya betul-betul jadi batu.
Masa itu sedikit perasaan kesal Mak Tanggang rasa. Terpikir jauh dalam otaknya "kenapa aku tak sumpah jadi permata? baru la kaya. jadi batu mana ada harga."
Sebab menyesal, Mak Tanggang bawa diri jauh ke dalam hutan. Mak Tanggang dah malas nak bersoal jawab dengan masyarakat tentang sumpahannya. Dah senak mulut Mak Tanggang cerita.
Masa menentukan segalanya. Berita Si Tanggang jadi batu sampai ke pengetahuan raja. Biasalah perangai raja, dah tahu cerita mestilah nak jumpa pula dengan orangnya. Maka keluarlah arahan diraja untuk membawa Mak Tanggang ke istana.
Para balaci-balaci di raja pun melaksanakan perintah raja. Jauhlah berjalan keliling kota. Tapi hampa tak pernah berjumpa.
Setelah puas usul periksa, maka tahulah mereka yang Mak Tanggang kini menyorok dalam hutan. Disebabkan arahan raja, tiada pilihan maka masuklah mereka ke hutan.
Dah hampir habis bekalan, jumpa la mereka dengan Mak Tanggang. Mak Tanggang yang dah lama tak berjumpa dengan orang mulalah rasa semacam. Apa gila panggil namanya di tengah hutan sambil tangan melibas parang?
Mak Tanggang lari. Balaci di raja mengejar.
Sebab dah tak larat berlari, maka Mak Tanggang pun menyumpah sekali lagi. "siapa kejar aku jadi batu."
Nak dijadikan cerita, maka hampir semua balaci menjadi batu. Yang selamat hanyalah seorang balaci. Balaci terakhir ini terselamat kerana kebetulan masa Mak Tanggang menyumpah, dia kehabisan nafas. Dia sebenarnya sedang berhenti berehat.
Dipendekkan cerita, Mak Tanggang yang dah lama menjanda akhirnya berkahwin dengan balaci raja yang terselamat itu tadi. Tinggallah mereka berdua dalam hutan. Berkawan dengan haiwan.
Semasa bersama di dalam hutan, Mak Tanggang mengambil kesempatan mengajar balaci ini tadi cara-cara menyumpah dengan betul. Adalah diharapkan Mak Tanggang agar ilmu menyumpah seranah yang dimilikinya akan diperturunkan kepada generasi seterusnya. Mak Tanggang tak mahu ilmu sebegini hilang tanpa pewaris. Terasa rugi benar kalau tiada siapa yang mewarisinya.
Sampai masa, Mak Tanggang pun sampai ajalnya. Mak Tanggang di kuburkan oleh suaminya di dalam hutan. Jauh dari orang. kerana terlalu sayangkan Mak Tanggang, si balaci bertekad untuk meneruskan cara hidupnya bersama Mak Tanggang. Diamlah balaci seorang diri di dalam hutan.
Al-kisah, si raja yang masih belum berpuas hati dengan pencariannya terhadap Mak Tanggang menghantar pasukan kedua untuk meneruskan misi mereka sebelum ini. Pasukan kedua yang dihantar raja adalah pasukan khas istana. Semuanya bertaraf Rambo belaka.
Tak sampai sepurnama, pasukan kedua ini berjaya menemui si balaci suami arwah Mak Tanggang. Di sampaikan perintah raja untuk balaci kembali ke istana. Tapi si balaci enggan. Si balaci tak nak keluar dari hutan.
Setelah bermacam usaha pujukan gagal, maka unit bertaraf Rambo ini tadi mula menggunakan kekerasan. Di belasahnya balaci tanpa belas kasihan.
Balaci yang dah tak tahan akhirnya menggunakan segala ilmu sumpahan. Di sumpahnya mereka yang membelasahnya menjadi batu. Yang tak terlibat dibiarkan pulang.
Maka bermulalah lagenda baru. Balaci yang menyumpah manusia menjadi batu mula menjadi bualan. Nama Sang Kelembai mula menjadi siulan.