Friday, February 27, 2009

Masked Rider versi Melayu


sekarang ini aku berasa cukup selamat.
kerana aku berkawan dengan penyelamat.
dengan bangganya aku mengumumkan bahawa Masked Rider bukan hanya ada di Jepun.
di Malaysia pun dah ada.
aku ada buktinya.


bukti kukuh yang telah diperkukuhkan: 

penampilan khas seorang Masked Rider yang mempamerkan tali pinggang ajaibnya kepada aku dengan wajah yang penuh riak. tali pinggang berbentuk kumbang merah (sekali tengok macam kumbang tahi)  yang berupaya mengubah penampilannya sekali gus memberikannya kuasa untuk berlawan dengan raksasa jahat yang cuba menguasai bumi. (dilengkapi dengan bunyi-bunyian dan lampu yang bewarna-warni)




setelah menghidupkan suis utama tali pinggang hikmat, seorang lelaki tipikal yang sebelum ini makan gaji dengan kerajaan dari jam 8.00 hingga 5.00 petang telah pun bertukar wajah. muka yang disapu bedak setiap hari telah berjaya disembunyikan di sebalik watak seorang hero.

siapa dia hero kita ini sebenarnya??

aku tahu. tapi sengaja tak nak kasi tahu. sebab aku dah janji dengan dia bahawa identiti dia akan aku rahsiakan. meski pun pistol diacukan di kepala. (lain la kalau aku diacukan dengan seguni duit RM50.)

amacam? best tak aku? ada kawan superhero. korang ada ke??

Tuesday, February 24, 2009

motosikal untuk dijual.....ke???

anda seorang mat rempit? mat motor? atau anda memang suka motosikal walaupun anda bukan salah seorang dari yang di sebutkan tadi?

pening kepala memikirkan masalah yang biasa dihadapi dengan menggunakan motosikal biasa?

ada duit untuk digunakan tetapi buntu mencari jalan penyelesaian terhadap masalah anda dengan motosikal anda?

memang bukan semua masalah senang diuruskan meskipun mempunyai kemampuan.

jika anda mempunyai masalah ini: 

1. sukakan motosikal yang unik tetapi tidak mempunyai ruang yang mencukupi untuk menyimpannya

2. sukakan motosikal tetapi takut jiran-jiran mencalarkan motosikal kesayangan anda kerana dengki pada anda (atau kerana anda suka mengintai anak/bini muda jiran anda tanpa mengira masa)

3. sukakan motosikal tetapi belum menjumpai motosikal yang cukup laju yang membolehkan anda melewatkan waktu bangun tidur di pagi hari selama beberapa minit lagi sebelum bergegas ke tempat kerja 

maka inilah jawapan kepada masalah anda: memperkenalkan........

MOJIRU (motosikal jimat ruang)
motosikal ini sungguh menjimatkan ruang. sesuai kepada mereka yang mempunyai masalah no. 1. anda boleh menyimpannya di bawah katil jika anda mahu.


MOKACA (motosikal kalis calar)
motosikal ini kalis calar. anda tidak perlu risau jika jiran anda mempunyai hobi suka mencalarkan motosikal jiran-jiran. (tetapi awas dengan pengumpul besi buruk). jawapan kepada masalah no.2.


MOPEBER (motosikal peluru berpandu)
kelajuannya diakui setanding dengan peluru berpandu milik negara-negara eropah dan korea utara. membolehkan anda sampai ke destinasi yang ditujui dalam masa yang singkat. jawapan kepada masalah no.3.

dimana anda boleh mendapatkannya??

pastinya bukan disini....................................

Saturday, February 21, 2009

deria rasa anda ok?


"abang nak minum apa" tanya gadis berbaju pink.

"macam biasa. nescafe o ais." jawapan ringkas dari mr X.

beberapa putaran jarum saat kemudian, air yang diminta sampai.

"warna macam biasa. gelas macam biasa. tapi macam luar biasa." ngomel mr X.

"apa yang luar biasa" tanya mr Y.

"rasa mentimun." kata mr X sambil mengerutkan dahi.



Wednesday, February 18, 2009

bahasa Melayu VS bahasa Inggeris

jika baru-baru ini, Gabungan Penulis Nasional (Gapena) telah membuat laporan polis terhadap Kementerian Palajaran berhubung pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), kini tiba giliran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pula yang membuat laporan serupa terhadap kementerian terbabit.

kedua-dua pertubuhan ini membuat laporan atas alasan "tidak sah di sudut undang-undang dan bertentangan dengan Seksyen 17(1), Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan kehendak dan tujuan Perkara 152(1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan".

Menurut laporan berkenaan, Perkara 152(1) memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan diperuntukkan melalui undang-undang, bahawa tiada sesiapa boleh dilarang dan dihalang menggunakan (selain bagi "maksud rasmi") atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain.

Perkara 152(6) pula memperuntukkan bahasa perkara-perkara pendidikan negara, mata pelajaran utama dalam kurikulum kebangsaan yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran tergolong dalam kategori "maksud rasmi".

pandangan kedua-dua pihak ini di lihat sealiran dengan pandangan yang pernah diutarakan oleh beberapa tokoh akedemik negara atas isu ini.

kesempatan yang aku perolehi ketika berbual-bual dengan beberapa orang guru sekolah di daerah aku (bekas guru-guru dan rakan-rakan aku yang kini bergelar guru) telah mewujudkan beberapa pandangan tersendiri tentang isu ini. ada pro dan kontranya. begitu juga dengan pandangan beberapa orang rakan yang langsung tidak mempunyai kaitan dengan bidang perguruan namun masih mengambil tahu tentang isu ni.

satu perkara yang dipegang oleh mereka yang pro dengan keputusan kementerian telah mengeluarkan hujah bahawa penggunakan bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan metematik lebih membawa kebaikkan kepada jangka masa panjang. kekurangan bahan-bahan rujukan dalam bahasa Melayu di peringkat pengajian tinggi di jadikan alasan yang kukuh kepada penyokongan tindakan kementerian. aku akui bahawa hal ini sememangnya benar. amat sukar bagi kita selaku pengguna bahasa Melayu untuk mendapatkan bahan-bahan rujukan yang berkualiti dalam bahasa Melayu. kebanyakkannya adalah yang berbahasa Inggeris. dan sekiranya ada pun, jumlahnya begitu kecil dan tidak memadai untuk dijadikan rujukan mutlak semata-mata. 

sebagai alternatif kepada masalah ini, bahan-bahan rujukan yang telah diterjemah sering kali menjadi pilihan dalam membuat rujukan. satu perkara yang nyata, bahasa yang diterjemah ini seringkali didapati menggunakan bahasa Indonesia dan bukannya bahasa Melayu kebangsaan. amat-amat kurang bahan rujukan dalam bahasa Melayu kebangsaan di dapati di pasaran mahupun di mana-mana perpustakaan di Malaysia.

satu perkara yang selalu dipersoalkan dalam perkara ini ialah ketepatan maklumat yang telah diterjemahkan. ramai yang beranggapan, bahan-bahan terjemahan ini telah mengurangkan nilai ilmu yang sebenar dalam karya asalnya.

penggunakan bahasa Inggeris semenjak di bangku sekolah di harapkan mampu melahirkan pelajar yang mampu menguasai bahasa Inggeris dengan baik pada kemudian hari. sekali gus mengatasi masalah kesukaran mendapatkan bahan rujukan yang berkualiti.

pendapat yang kontra pula sering menjadikan perlembagaan sebagai inspirasi utama dalam memperjuangkan bahasa Melayu dalam pengajaran di sekolah. martabat bahasa Melayu dipandang cukup tinggi oleh golongan ini. mereka juga sering menjadikan negara Jepun sebagai contoh negara yang mampu mencapai tahap yang tinggi meskipun mengutamakan bahasa kebangsaan mereka dalam menyampaikan ilmu.

lambakan istilah sains dan matematik yang dicipta dan diubahsuai oleh tokoh-tokoh akedemik juga dijadikan alasan mengapa perlunya bahasa Melayu dipelihara dan menolak penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam subjek tersebut. mereka beranggapan tiada gunanya pelbagai istilah dicipta sekiranya tidak digunakan.

ada juga yang mengemukakan hujah tentang kesan yang dilihat berlaku pada pelajar hari ini khususnya pelajar di luar bandar yang diketahui agak lemah penguasaan bahasa Inggeris mereka. penggunaan bahasa Inggeris dikatakan menjadi sebab mengapa ada dikalangan pelajar yang gagal dalam matapelajaran sains dan matematik dalam peperiksaan kebangsaan meskipun mampu menguasai matapelajaran itu sebelum ini.

ada pendapat yang menghujah melalui penceritaan orang sekeliling mereka dan pengalaman mereka sendiri yang mendapati ada pelajar yang sebenarnya menguasai matapelajaran tersebut tetapi tetap gagal dalam peperiksaan. contoh yang di berikan kepada aku ialah kisah seorang pelajar yang apabila diaju soalan matematik dalam bahasa Melayu, mampu menjawabnya dengan tepat. tetapi apabila soalan yang sama diberikan dalam bahasa Inggeris, pelajar tersebut tidak mampu menjawabnya sama sekali. kata mereka, ini membuktikan bahawa pelajar tersebut tahu matematik, cuma kurang tahu bahasa Inggeris. bukannya bodoh matematik. jadi tiada sebabnya sekiranya dia digagalkan untuk subjek matematik hanya kerana kurangnya penguasaan bahasa Inggeris.

aku sendiri kurang pasti tentang corak sebenar perlaksanaannya di sekolah-sekolah. dan aku juga difahamkan bahawa dalam peperiksaan yang sebenar, soalannya ada dalam kedua-dua bahasa ini. aku agak keliru dalam hal ini. kerana, jika benar ada dua bahasa yang digunakan dalam peperiksaan, maka apa relevannya hal ini dibangkitkan? sekiranya pelajar itu mahir berbahasa Inggeris, biarkan sahaja mereka menjawab dalam bahasa tersebut dan sekiranya pelajar kurang mahir berbahasa Inggeris, teruskan sahaja dengan jawapan dalam bahasa Melayu. tentang bahasa yang digunakan ketika mengajar, bergantunglah kepada kesesuaian masa, tempat dan keadaan.

aku mengharapkan pandangan yang ikhlas dari mereka yang mempunyai pandangan tersendiri dalam hal ini. aku masih dalam 'mode' pemerhati. aku mengakui pandangan pihak yang pro yang aku lihat ada benarnya, dan dalam masa yang sama aku juga ingin bahasa Melayu dikekalkan.

 


Saturday, February 14, 2009

suatu petang di taman permainan


"bak sini balik." seorang budak berbaju biru menjerit separuh menangis. sambil tangan merampas kasar mainan patung Power Rangers dari tangan budak lainnya.

"kedekut. aku nak pinjam je la. babi." jerit kanak-kanak yang dirampas mainannya tadi sambil menolak jatuh budak berbaju biru. dia berbaju kuning yang mempunyai gambar Upin dan Ipin di bajunya.

hasil jatuhan tadi menyebabkan budak berbaju biru terjatuh. luka kakinya. lalu meraung kesakitan seolah-olah terkena peluru tembakan zionis di Palestin.

"waaaa...... sakit. ko jahat. kami bagi tau mak kami. waaaaaa........ tak nak kawan" budak berbaju biru berkata dalam menangis.

"ha... ha.... tak tau. dia menangis." gabungan suara secara beramai-ramai oleh budak-budak yang berhampiran. campuran lelaki dan perempuan. sambil jari telunjuk di goyang-goyangkan.

setelah sesaat dua, budak berbaju kuning bergambar Upin dan Ipin mula bertindak.
kakinya melangkah laju ke arah budak berbaju biru. mengangkat tangannya. dan...

"salam." sambil tangan di hulurkan.
"aku mintak maaf. kita kawan balik ek." mulut budak berbaju kuning berkata ikhlas.

"ok." budak berbaju biru membalas. sambil tangan menyambut salam itu tadi. air mata di lap dengan baju. bersekali dengan hingus yang mengalir keluar.

Tuesday, February 10, 2009

lu kena beb....

"Dalam kejadian berasingan sebelum ini, dua lelaki warga Nepal turut menjadi mangsa apabila dirompak geng penjenayah sama ketika menaiki bas berhampiran Bukit Bintang.

Kedua-dua mangsa mendakwa kerugian hampir RM10,000 apabila wang tunai berjumlah RM7,000 serta telefon bimbit berjenama milik mereka disamun kumpulan terbabit.

Mangsa, Durga Bahadur Rimal, 28, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mendakwa dirompak tiga lelaki warga asing yang mendakapnya dari belakang sebelum menggeledah poket seluarnya." 



sori bro. gua tak tahan nak gelak. korang nak cakap aku ni jahat ke cakap la. nak cakap aku ni orang yang penuh dengan semangat perkauman pun lantak korang la. yang penting aku tahu siapa aku. aku tak tahan nak gelak.

hahahaha gelak lagi.

korang-korang percaya ke apa yang mamat nepal ni cakap?
jalan-jalan tengah bandar naik bas. bawak RM7,000 dalam poket.
henset pun harga sampai RM3,000. 
kalau bahagi dua orang, kiranya sorang bawak RM3,500 dalam poket dan pakai henset yang harganya RM1,500 sorang.

hahaha lagi

kerja jadi pak guard je. 
kalau kata datang Malaysia jadi 'bisnesmen' ke boleh la aku nak percaya.
tu pun aku akan tertanya-tanya bisnes apa.
jual minyak wangi tiruan ke?
ke jual ubat kuat di ranjang?

hahahaha

aku tak fikir yang wartawan ni salah tulis fakta.
yang aku fikir wartawan dengan polis tu dah kena tipu sama mamat nepal tu.

hahahahahahaha........

hidup ni sementara aje..



sesekali berada di atas
perlu juga memandang ke bawah
bila sekali di duga nafas
siaplah diri menjadi arwah

Saturday, February 7, 2009

hikayat beriwayat

adapun pada satu hari yang hening, berlabuhlah sebuah kapal yang besar lagi mewah di pinggir pantai negeri Isketambola. kapal yang bermuatan berganda besarnya daripada tongkang-tongkang buatan negara China itu di ketuai oleh seorang nakhoda perkasa yang bernama Panglima Alam Kesuma anak sulung Pendekar Mata Tiga dari negeri Ais Kepal yang berajakan Raja Mangku Peribumi.
adapun tujuan berlabuhnya kapal ini adalah untuk melakukan sedikit perdagangan yang bernilai jutaan wang emas yang di percayai boleh menguntungkan kedua-dua pihak hendaknya.
dengan menggunakan sampan yang berjumlah tiga biji kesemuanya, berangkatlah Panglima Alam Kesuma ke darat untuk mengadap pemerintah tempatan bagi menyampaikan hasratnya itu. sudah menjadi adat turun-temurun, setiap yang ingin berdagang hendaklah mendapat keizinan empunya tanah jajahan sebelum urusan jual beli dilaksanakan. kegagalan berbuat demikian bisa membuatkan segala urusan disalah ertikan dan berkemungkinan terjadinya peperangan.
kaki yang pertama kali memijak tanah telah disambut oleh rakyat kebanyakkan dengan penuh rasa kehairanan. kehairanan kerana kagumnya melihat kapal yang begitu besar dan kehairanan melihat pakaian yang dipakai oleh rombongan Panglima Alam Kesuma itu. sesungguhnya pakaian yang menyaluti tubuh rombongan Panglima Alam Kesuma di lihat begitu cantik dan mengagumkan. bewarna terang berkilat. di tambah lagi oleh hiasan labuci-labuci yang pelbagai bentuk dan warna, serta kasut yang dilihat tinggi buatannya hingga hampir mencecah lutut ahli rombongan Panglima Alam Kesuma itu.
rombongan Panglima Alam Kesuma itu di bantu oleh Patih Kerjasama yang bertindak sebagai jurubahasa. adapun di ceritakan Patih Kerjasama ini mampu bertutur dalam 14 bahasa termasuk bahasa makhluk hijau yang tinggal di planet lain yang sekali sekala datang bertandang ke bumi menggunakan geroda terbang berbentuk piring.
tanpa membuang masa, Patih Kerjasama pun terus mengajukan soalan bertanya kedudukan kediaman dan nama memanda negeri tersebut kepada orang ramai di pasar dengan suara yang agak kuat dengan niat menunjuk-nunjuk kepandaiannya kepada Panglima Alam Kesuma dan anak-anak buahnya yang lain. sudah menjadi adat juga memanda negeri harus di utamakan. hanya melalui memanda sahaja lah baru dapat kiranya mereka berjumpa dengan raja negeri tersebut.
dan sebaik sahaja pertanyaan di ajukan, bukan kekaguman yang diperolehi oleh Panglima Alam Kesuma, bahkan muka yang mencuka kehairanan semata-mata. apa yang dilihat oleh Panglima Alam Kesuma bukan lagi sambutan yang hangat seperti tadi, bahkan pergaduhan yang berlaku di hadapan matanya antara 2 puak di pasar tersebut. sambil mengundurkan langkah perlahan-lahan ke belakang, tangan kanan dan kirinya mula mengusap-ngusap senjata yang dibawa. sebagai langkah berjaga-jaga. di fikirannya, berkemungkinan Patih Kerjasama sudah gagal menjalankan tanggungjawabnya dan telah mencetuskan pergaduhan itu.
setelah berada dalam jarak yang selamat, dengan pantas Patih Kerjasama di panggil. pertanyaan di ajukan tentang perihal yang berlaku sebentar tadi.
segera dijawab dengan suara yang tersekat-sekat oleh Patih Kerjasama. 
"ampun Panglima, ada pun mulanya tadi patik telah pun menjalankan perintah Panglima dengan bertanyakan akan nama dan tempat kediaman Memanda negeri ini. dan pertanyaan patik itu tadi telah menjadi begitu sensitif kepada orang ramai di pasar sehingga tahap hendak bertikam-tikam pula."
"mengapa begitu?" tanya Panglima Alam Kesuma penuh hairan sambil mengerutkan dahinya.
"adapun pertanyaan patik tadi telah mewujudkan dua jawapan yang berlainan. puak yang pertama mengatakan memanda negeri ini bernama Bendahara Ajino dan berumah di utara kampung ini, manakala sepuak yang lain pula berkeras mengatakan Bendahara Misai Rimau lah memanda yang sah dan berumah di selatan kampung. masing-masing berkeras dengan pendapat masing-masing hingga mahu mencabut nyawa lagaknya." jawab Patih Kerjasama takut-takut.
"aneh, belum pernah aku berjumpa dengan negeri seperti ini. dua memanda dalam satu masa. apa agaknya yang berlaku? ayuh semua. bersiap ke kapal. kita cari negeri lain. negeri ini kurang molek untuk berdagang. politiknya kucar-kacir. tidak stabil." Panglima Alam Kesuma bersuara.
maka berangkatlah kembali rombongan ini ke kapal. kembali membuka peta mencari negeri lain yang lebih sesuai untuk mereka berdagang. meninggalkan negeri Isketambola kerugian. 
 

Wednesday, February 4, 2009

apabila ultraman bertempur dengan raksasa gordon..

berita di TV Malaysia semenjak dua menjak ni dilihat begitu menumpukan kepada perihal politik negara. ianya bukan perkara yang luar biasa bahkan dah terlalu biasa. hal-hal perkelahian antara parti politik negara lebih di utamakan berbanding cara-cara menangani krisis ekonomi sekarang. aku tak akan membincangkan tentang ekonomi di sini kerana aku bukan ahlinya. aku cuma tahu ekonomi cara tradisional sahaja. bela dua ekor lembu, ternak sampai beranak pinak, jual lembu, beli gajah dan seterusnya sehingga mampu menjadi sekaya orang kaya yang lain. 
apa yang aku sedikit kesalkan adalah wujudnya perbalahan politik sehingga anak-anak kecil yang tak pernah tahu apa itu politik, apa itu UMNO, apa itu PKR bahkan langsung tak mengenali siapa itu PakLah menjadi mangsa tindakan bodoh sesetengah pihak yang mengaku cerdik.
satu pihak dilihat mempergunakan kuasa yang ada untuk menyekat operasi pra-pendidikan kanak-kanak atas alasan yang tertentu. yang tentunya bermotifkan politik.  kesannya, anak-anak kecil yang baru nak mengenal abjad dan nombor tidak dibenarkan melalui hari-hari biasa mereka yang penuh dengan keriangan dan tangisan sesama mereka.
apa yang malang lagi, sebelah pihak yang bermusuhan pula mengambil kesempatan yang ada untuk menunjukkan kepada semua tentang kekejaman pihak lawan terhadap anak-anak kecil ini. di canangkan dengan gempar. diambil masa yang panjang dalam berita-berita TV untuk menyiarkan hal ini. dipanggilnya pelbagai pihak memberi komen. dan yang lebih bijaknya, mempergunakan kanak-kanak ini untuk menagih simpati. dibiarkan anak-anak yang masih belum kering hingusnya belajar di bawah panas terik matahari. seolah-olah satu dosa besar kepada anak-anak itu sekiranya dikecualikan kelas untuk sehari. apa rasionalnya membiarkan anak-anak ini berlajar di tengah padang berbumbungkan langit semata-mata? diperlakukan sebegini semata-mata untuk menjadi bahan berita sensasi bukan lah satu langkah yang maha bijak. ibarat haiwan di zoo lagaknya. membiarkan mereka kepanasan semata-mata kerana ingin menunjukkan kekejaman pihak lawan juga bukan lah satu strategi yang baik. lupakan kata-kata Niccolo Machiavelli yang menghalalkan cara kerana matlamat. tiada gunanya matlamat tercapai sekiranya cara keji yang digunakan. malu anak cucu nanti. kerana apa yang terhasil hanyalah kemusnahan semata-mata.
hari ini akhbar-akhbar dan TV sibuk mencanangkan kepada rakyat bahawa terdapat sebilangan anak-anak tersebut yang jatuh sakit. yang demam. yang terganggu mentalnya. dan menunjukkan dengan jari telunjuk secara bulat-bulat bahawa ini merupakan salah pihak yang mengunci pintu kepada anak-anak ini. langsung tidak memandang cermin sebelum berkata-kata.
memang la pihak lawan kamu telah mengunci pintu. itu memang salah mereka kerana anak-anak malang ini tidak dapat memasuki bilik kelas mereka. tetapi, membiarkan mereka di bawah terik matahari adalah salah kamu sendiri. susah sangat ke sekiranya membatalkan sahaja kelas pada hari tersebut sehingga perkara ini selesai? perlu ke di jemurnya anak-anak ini semata-mata kerana ingin dirakam oleh lensa kamera?
apabila dikatakan kurang bijak, masing-masing melenting. hendak di puji pandai, layak kah kamu? sekiranya sebelah pihak memang telah mengambil langkah yang salah, perbetulkan. guna la sikit akal yang ada. selesaikan lah sesama dewasa. secara matang. tak perlu rasanya melibatkan anak-anak yang masih belum lekang Power Rangers dari otaknya dalam fantasi politik kamu tu. bagilah mereka peluang untuk menjadi kanak-kanak yang normal. macam anak-anak orang lain.
bak kata pepatah yang telah di ubah suai: ultraman berlawan sesama raksasa, manusia juga yang mati kena pijak. 

Sunday, February 1, 2009

terkenang masa dahulu


bertemankan nescafe o panas, rokok import yang pastinya bukan buatan Phillip Morris, serta tidak dilupakan biskut empat segi cap ping-pong. malam yang kelam bertemankan hanya lampu meja buatan China yang dibeli di pasar malam seberapa lama dahulu. 
seketika, biskut ditinggalkan. asap bergulung-gulung. ada masanya membulat. sekadar berseni dengan asap.
kebosanan. sendirian ditengah malam tatkala insan serumah mengelamun bermimpi. sekadar berbaring menirap di atas toto yang tak pernah di basuh sejak sekian lama. sesekali terdengar dengkuran-dengkuran kecil sahabat yang lena di sebelah. sesekali dengarnya perlahan. sesekali bunyinya menyakitkan. 
berseorangan berjaga. membaca apa yang perlu. membaca dengan niat yang kurang ikhlas. membaca bukan kerana inginkan ilmu yang berkekalan. membaca sekadar berharap agar apa yang dibaca dapat dikeluarkan di kertas-kertas yang bakal diperiksa mereka yang berhak. yang kemudiannya memberikan markah. yang kononnya membuktikan kecerdikan atau kebodohan.
menjadi tabiat isi rumah berperlakuan begini. sentiasa bergembira sehingga tiba masanya. hanya kembali berpelakuan seperti pelajar apabila tarikh peperiksaan semakin suntuk. sebulan bukan masa yang sesuai. seminggu juga masih lama. sehari adalah masanya. mengulang kembali apa yang dipelajari sepanjang tempoh tiga ke empat bulan dalam masa sehari merupakan budaya yang diamalkan. budaya rasmi tidak bertulis.
"argggg..." suara kekecewaan berbunyi kecil. kecewa. memang kecewa. hampa. cukup hampa. apa yang di baca hilang begitu sahaja. tah kemana perginya. tah di mana silapnya.
buku terhidang. nota di samping. nescafe o masih panas. rokok masih banyak. biskut bersedia.
hati masih tak tenang, seakan ada perkara yang masih terlupa. yang tertinggal.
menggaru kepala. mencari punca. berfikir lama. berkira-kira.
nah...memang ada yang terlupa. mahu berperang terlupa pelurunya.
bangun perlahan. dengan harapan tidak mengganggu sahabat yang bermimpian. bergerak ke belakang pintu. mencapai jeans yang kelusuhan. bersiap ala kadar. mencari-cari kunci motor. mencapai topi keledar. berjengket-jengjet ke pintu depan. membukanya perlahan. 
"nak kemana?" sahabat bertanya. mata terkebil-kebil. sambil tangan mencapai perlahan telefon bimbit di bawah bantal.
"seven-e, beli pen." jawapan ikhlas lagi ringkas.
"aku ikut. lapar. kita gi maple sekali. makan roti." sahabat berbunyi lagi. sambil bingkas bangun membasuh muka.
"maple?? aku pun nak ikut" sahabat yang lain bersuara. hilang sudah lenanya.
"sapa nak gi maple? kirim roti 2 keping, teh tarik 1." sahabat terakhir berbunyi. sambil mata masih terpejam. hanya mulut yang terkumat-kamit.
"nak makan jom gi sekali. tapau tak aci" sahabat yang mula-mula terbangun bersuara. benci diperintah.
"yela..yela.." tubuh yang agak berisi bangun malas. menggeliat.
seketika, sampailah empat sahabat serumah ke destinasi yang dituju. rasa mengantuk masing-masing hilang sudah. menjamah roti canai buatan khas penebar yang dimport khas dari India. sambil mencuci mata. melihat gadis-gadis yang ada. yang berpunya dilepaskan. yang sekadar sesama mereka di sapa. bersuka ria. berhiruk pikuk. hanya sudah ketika azan subuh berkumandang. seakan wisel penamat yang difahami tanpa diajar.
sampai di rumah, bantal di alihkan. mata masing-masing kembali segar. daun terup dikeluarkan. bergembira lagi beramai-ramai. tanpa mempedulikan sahabat yang seorang ini perlu bersedia. bersedia untuk berperang dengan soalan-soalan yang bakal menentukan.
jam 7.30 pagi. sekali lagi motor dihidupkan. menuju perlahan ke dewan peperiksaan. berdepan soalan. dan ketika memikirkan apa yang sempat dibaca, yang lain akhirnya tiba. roti canai, awek seksi, sat spade, 3 lekuk. sialan...